Skim Insurans B40 "mySalam" Bertentangan Dengan Piagam WHO - Khaled Nordin

"mySalam" tidak inklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40. Bagaimana dengan mereka dari kelompok M40?


Merujuk kepada pelancaran skim insurans B40 yang dinamakan sebagai “mySalam”, saya memuji inisiatif kerajaan baharu dalam menambah baik akses kepada perkhidmatan kesihatan yang sangat diperlukan, meringankan beban kos sara hidup dan menambah baik kesejahteraan rakyat.

Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa isu berhubung dengan skim ini serta sistem penjagaan kesihatan negara secara keseluruhannya, mesti ditangani dengan baik. Skim insurans B40 ini tidak sepenuhnya selari dengan prinsip-prinsip perlindungan kesihatan sejagat yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).



Piagam WHO 1948 mengisytiharkan kesihatan sebagai hak asasi manusia yang menggarap tiga matlamat utama yang berkaitan dengannya:

a. Kesamarataan akses kepada perkhidmatan kesihatan – setiap orang yang memerlukan perkhidmatan harus memperolehinya, bukan hanya mereka yang mampu membayarnya,

b. Kualiti perkhidmatan kesihatan hendaklah berada dalam keadaan yang cukup baik agar dapat menambah baik tahap kesihatan mereka yang menerima perkhidmatan tersebut; dan

c. Rakyat hendaklah dilindungi daripada risiko kewangan, dengan memastikan kos menggunakan perkhidmatan tersebut tidak akan mendedahkan rakyat kepada risiko kewangan.

Berdasarkan prinsip-prinsip ini, mySalam tidak inklusif memandangkan ia hanya merangkumi 3.69 juta orang dari kumpulan B40. Bagaimana dengan mereka dari kelompok M40 yang turut berhadapan dengan kekangan kewangan dalam mendapatkan perkhidmatan kewangan?



Menurut Laporan Financial Stability and Payment Systems 2017 oleh Bank Negara Malaysia, 3.9 juta golongan dewasa bekerja dari kelompok Bukan-B40 tidak mempunyai perlindungan insurans. Malah, kadar pemilikan insurans seluruh negara dalam kalangan Bukan-B40 hanyalah sekitar 56 peratus. Jadi, adakah ini bermakna yang kerajaan hari ini mengabaikan keperluan golongan M40 dalam mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan melalui skim mySalam?

Sudah pasti golongan M40 akan sangat terkesan sekiranya mereka kehilangan pekerjaan dan sebarang perlindungan kesihatan yang diterima dari majikan selama ini. Malah, mereka yang bekerja sendiri tidak mempunyai perlindungan daripada risiko kewangan akibat kos perubatan yang tinggi, sekali gus menggandakan kesan yang diterima oleh mereka terutamanya semasa kegawatan ekonomi.



Banyak pihak dan pemegang taruh telah menyuarakan pandangan bahawa skim insurans yang mensasarkan kepada sesetengah kelompok sahaja mungkin tidak akan bertahan dalam tempoh jangka masa panjang. Malah, skim ini dipadankan juga dengan beberapa peruntukan yang mungkin akan lebih meningkatkan lagi kos penjagaan kesihatan.

Di peringkat makro, persoalan timbul. Mengapa kerajaan beralih dari tanggungjawab asasnya dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan sebaliknya memfokuskan kepada memberikan skim insurans? Seperti yang ditegaskan oleh WHO, kualiti perkhidmatan kesihatan adalah sama pentingnya dengan akses kepada perkhidmatan ini.

Oleh itu, saya menyarankan kepada Kementerian Kesihatan untuk lebih memfokuskan kepada pelaburan yang akan menambah baik infrastruktur penjagaan kesihatan yang seterusnya akan membawa lebih banyak manfaat langsung dan tidak langsung.



Kita memerlukan hospital-hospital yang boleh meningkatkan nilai penjagaan kesihatan dan memberikan kesan yang lebih baik, tanpa mengira tahap pendapatan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan wad yang sesak dan kakitangan kesihatan yang terpaksa bekerja dalam tempoh yang sangat panjang. Kita perlu menangani dan menguruskan isu-isu penting seperti perbelanjaan kesihatan yang digunakan bagi setiap perkhidmatan serta menambah baik nisbah doktor kepada saiz populasi.

Malah, skim “mySalam” ini sudah pastinya akan menggalakkan lebih ramai pesakit dan tenaga pakar untuk pergi ke sektor swasta, sekali gus secara tidak langsung akan melemahkan sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia.



Menambah baik kualiti penjagaan kesihatan awam sudah pastinya satu dasar yang jauh lebih berkesan dan inklusif. Malaysia memerlukan peruntukan perubatan yang terbaik untuk semua pada kadar yang mampu ditanggung, dan yang tidak hanya memfokuskan kepada sesetengah kelompok masyarakat semata-mata.

Jelaslah, bahawa skim perlindungan B40 ini sangat memerlukan rujukan serta maklum balas dari terperinci pelbagai pihak termasuklah masyarakat awam. Kerajaan baru hari ini tidak sepatutnya terus menerus memperkenalkan dasar baharu tanpa terlebih dahulu membuat kajian yang mendalam, seperti yang dapat dilihat dalam pelbagai kesalahan demi kesalahan berulang yang dilakukan setakat ini.



*Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah naib presiden Umno dan pengerusi Majlis Dasar Awam.

Artikel di petik dari ruangan pendapat di portal online bahasa malaysia MalayMail.
Skim Insurans B40 "mySalam" Bertentangan Dengan Piagam WHO - Khaled Nordin Skim Insurans B40 "mySalam" Bertentangan Dengan Piagam WHO - Khaled Nordin Reviewed by Pendekar Berkuda on 2:33:00 PG Rating: 5

Tiada ulasan

Seni menghuraikan topik adalah curahan dari rasa hati yang merasa. Anda boleh memberikan maklumbalas sesuka hati anda. Tapi sebarang ulasan yang tidak berkaitan dengan topik mohon dielakkan. Begitu juga ulasan yang bersifat memalukan. Terima kasih kerana bekerjasama.

PENAFIAN

Blog ini adalah blog peribadi yang tidak di danai oleh mana-mana pihak. Satu klik itu mungkin tak mampu membeli secawan kopi di zaman ini. Tapi bila ramai yang menyokong, InsyaALLAH, bolehlah saya nikmati secawan kopi. Terima kasih!