Jutawan Menang Kes Saman RM184 juta Untuk Atur Pertemuan Dengan Selebriti Bollywood

Beliau dikatakan sanggup bayar RM184 juta untuk ditemukan dengan 26 pelakon Bollywood secara empat mata.

Sheikh Hamad dan Ahmed Adel | Gambar : MirrorUK
SEORANG sheikh jutawan berjaya memenangi satu kes saman di sebuah Mahkamah Tinggi London berhubung dakwaan seorang ahli perniagaan yang mengatakan jutawan terbabit akan membayarnya hampir RM184 juta seandainya dipertemukan dengan 26 pelakon Bollywood pujaannya.

Ahli perniagaan, Ahmed Adel Abdallah Ahmed dalam tuntutannya mendakwa Sheikh Hamad Ali al-Khalifa yang merupakan kerabat diraja Bahrain dan sepupu jauh kepada Raja Bahrain telah melantiknya secara eksklusif untuk mengadakan pertemuan dua mata dengan 26 pelakon terkemuka Bollywood.




Pertemuan dua mata itu dikatakan akan membabitkan pelakon-pelakon terkemuka dunia perfileman India seperti pelakon utama filem Slumdog Millionaire dan bekas Ratu Cantik Dunia 1995 yang juga pelakon filem Bride and Prejudice, Aishwarya Rai. Turut disenaraikan ialah pelakon-pelakon Bunty Walla; Sanjay Dutt; Deepika Padukone dan Karishma Kapoor.

Menurut saman yang difailkan, Ahmed Adel mendakwa satu perjanjian telah termeterai di antaranya dengan Sheikh Hamad melalui panggilan telefon pada 2016, namun kerabat itu menafikannya dan menyatakan beliau benar-benar telah ‘menjalinkan satu hubungan persahabatan yang tulen’ dengan ahli perniagaan terbabit.




Hakim Jacobs ketika membacakan penghakimannya pada 10 November 2018 menyatakan, mahkamah membatalkan saman tersebut selepas mendapati ‘terlalu banyak fakta yang bercanggah dan tidak masuk akal’ dalam tuntutan Ahmed Adel.

“Saya menolak dakwaan Ahmed Adel berhubung panggilan telefon yang dikatakan berlaku pada 7 Januari 2016 dan menolak dakwaannya bahawa terdapat sebarang perjanjian seperti yang dikatakan,” ujar hakim terbabit.

Selain gembira dengan keputusan mahkamah tersebut, Sheikh Hamad turut menyifatkan ia merupakan sesuatu yang manis tetapi pahit untuk ditelan.

“Dengan hati yang berat saya terpaksa mempertahankan diri saya atas tuntutan ini memandangkan saya benar-benar menganggap Ahmed Adel merupakan seorang sahabat yang saya percayai dan saya selalu melayannya dengan kebaikan dan bermurah hati dengannya.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah teragak-agak untuk mempercayai bahawa dakwaannya adalah tidak berasas dan saya gembira mahkamah telah membuat keputusan yang berpihak kepada saya dan membatalkan keseluruhan tuntutannya,” kata Sheikh Hamad.




Dalam perbicaraan yang bermula November lalu, mahkamah diberitahu oleh peguam yang mewakili ahli perniagaan terbabit selaku plaintif , Stephen Nathan bahawa Sheikh Hamad mempunyai ‘minat mendalam’ dengan dunia perfileman Bollywood dan mempunyai ‘kemahuan yang tidak terkawal’ untuk bertemu pelakon-pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Ranveer Singh dan Aishwarya Rai.

Nathan memberitahu ‘laluan’ untuk bertemu bintang-bintang terkemuka itu bukanlah mudah namun anak guamnya dan syarikatnya, CBSC Events & Exibition and Conference Organizers mampu melakukannya namun dengan ‘harga tertentu’.




Peguam terbabit turut memberitahu rakaman gambar pertemuan itu menunjukkan sheikh terbabit berada dalam keadaan ‘gembira dan tenang’ dengan pelakon pujaannya dan turut memberikan ‘hadiah mahal’ yang dibeli dari Harrods.

“Walaupun pertemuan tersebut kelihatan berlaku dalam keadaan yang baik namun ia merupakan satu pertemuan yang perlu ‘dilakonkan’ dan dibayar. Anak guam saya mempunyai kemampuan dari segi perniagaan untuk memberikan perkhidmatan yang direka khas bagi memenuhi kehendak defendan (Sheikh Hamad) termasuk pelakon yang ingin ditemuinya dan suasana pertemuan yang diinginkan.

“Perkhidmatan itu termasuk ‘mencipta’ pertemuan santai dengan pelakon terkemuka Bollywood, jauh daripada gangguan orang awam dan di bilik suit peribadi hotel mewah. Ia (pertemuan) bukanlah sesuatu yang asli dan bukannya hasil persahabatan yang tiba-tiba wujud. Ia merupakan perkhidmatan yang disediakan untuk defendan oleh seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan upah,” kata peguam itu.




Dalam tuntutannya, ahli perniagaan terbabit mendakwa akan dibayar hampir RM5.3 juta bagi setiap pertemuan dan bonus melebihi RM1.8 juta bagi setiap pertemuan ketiga.

Sheikh Hamad melalui barisan peguamnya bagaimanapun mendakwa perjanjian tersebut adalah rekaan semata-mata dan dakwaan mereka berdua telah memeterai satu perjanjian eksklusif adalah ‘tidak masuk akal dan pelik.’

Peguam Andrew Hochhauser yang mewakili kerabat berkenaan memberitahu Sheikh Hamad menganggap Ahmed Adel sebagai salah seorang sahabatnya dan seseorang yang membantunya untuk mencapai impiannya. Oleh itu Sheikh Hamad berbesar hati untuk membalas jasa ahli perniagaan itu dengan memberikannya sejumlah wang yang banyak.




Hochhauser turut memberitahu ‘nada perbualan yang mesra’ pada khidmat pesanan ringkas di antara kedua-dua lelaki itu menunjukkan Ahmed Adl juga menganggap hubungan mereka adalah satu persahabatan.

“Sekirangan hubungan (persahabatan) itu tidak dibalas oleh plaintif maka tidak sukar untuk kita merumuskan bahawa Ahmed Adel sedang mempermainkan Sheikh Hamad,” tambah peguam itu.

Peguam itu turut menyatakan tuntutan Ahmed Adel adalah ‘satu cubaan yang tidak mempunyai sebarang justifikasi, mengambil kesempatan atas betapa mudahnya dan kebaikan melampau defendan dengan menjadikan satu hubungan berasaskan kepercayaan dan persahabatan sebagai satu hubungan komersil antara dua ahli perniagaan. – MIRROR UK



Jutawan Menang Kes Saman RM184 juta Untuk Atur Pertemuan Dengan Selebriti Bollywood Jutawan Menang Kes Saman RM184 juta Untuk Atur Pertemuan Dengan Selebriti Bollywood Reviewed by Pendekar Berkuda on 2:25:00 PTG Rating: 5

Tiada ulasan

Seni menghuraikan topik adalah curahan dari rasa hati yang merasa. Anda boleh memberikan maklumbalas sesuka hati anda. Tapi sebarang ulasan yang tidak berkaitan dengan topik mohon dielakkan. Begitu juga ulasan yang bersifat memalukan. Terima kasih kerana bekerjasama.

PENAFIAN

Blog ini adalah blog peribadi yang tidak di danai oleh mana-mana pihak. Satu klik itu mungkin tak mampu membeli secawan kopi di zaman ini. Tapi bila ramai yang menyokong, InsyaALLAH, bolehlah saya nikmati secawan kopi. Terima kasih!