Pblegacy.Org™

Pblegacy.Org™ | Blog TravelBlogger di bawah payung Pblegacy Network™

REMY ISHAK NAFI PERGI JAKARTA DENGAN AWEK

PERBUALAN dengan Remy Ishak kali ini sedikit mengundang emosi dan keluh kesah berpanjangan. Nafasnya ditarik panjang dan Remy kelihatan sedikit terkilan. Getar suaranya berbeza saat diaju mengenai kesahihan cerita yang disiarkan dalam kolum Teropong, B*Pop Ahad lalu.

  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010081108555020100811085550/Article/artikel



Menurut artikel itu, kononnya pelakon drama Nur Kasih itu berada di Jakarta bersama wanita yang digosipkan dengannya sejak kebelakangan ini, Maya Karin, awal Ogos lalu. Secara kebetulan penulis kolum terbabit, Zubir Mohd Yunus, juga bercuti di negara itu. Cerita itu dikatakan diperoleh penulis kolum daripada kenalannya yang turut berada di sebuah pusat membeli belah di sana. Sumber itu mendakwa terserempak dengan Remy dan Maya yang sedang bersiar-siar di pusat membeli belah terbabit. Bagaimanapun Remy menafikan perkara itu dan menjelaskan yang dia belum pernah menjejakkan kaki ke negara jiran yang dimaksudkan. Malah Remy memberitahu, sejak 28 Julai hingga 6 Ogos lalu, dia sibuk melunaskan baki penggambaran telefilem Airmata Nursalina arahan Erma Fatima. 

“Bila masa pula saya pergi ke Jakarta? Pasport milik saya pun belum pernah mempunyai cop ke sana. Bayangkan jadual penggambaran saya juga tak pernah kosong, sejak berlakon filem Cun, drama Arjuna, filem Nur Kasih hinggalah ke telefilem Airmata Nursalina.

 “Demi Allah saya memang tak ke sana. Maya pun sibuk berlakon filem Ombak Rindu. Jadi memang mustahil kalau timbul cerita kononnya kami bercuti di Jakarta. Tengok, kulit saya ini pun sudah hitam legam gara-gara banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran,” tegas Remy yang seakan kesal apabila cerita tidak sahih itu boleh timbul begitu saja.

 Menurut Remy, dia tidak menyangka gosip mengaitkan dirinya dengan Maya terus berpanjangan. Belum reda kisah yang dulu kononnya dia dianggap sebagai punca perceraian Maya dengan bekas suami, Muhammad Ali Abdullah, timbul pula kisah yang mendakwa mereka keluar bersama di Jakarta. 

“Dengan kesibukan saya di lokasi penggambaran, celah mana pula saya sempat memboloskan diri pergi bercuti ke negara orang. Nak balik kampung berjumpa mak dan keluarga di Melaka pun saya tak sempat, inikan pula nak ke Jakarta semata-mata untuk berdating,” katanya yang mengaku amat rindukan kampung halamannya dan mahu mengambil kesempatan untuk menyambut puasa bersama keluarga pada awal Ramadan.

 Dalam hal membabitkan dirinya dengan Maya, Remy mengaku dia sudah mula jelak dengan gosip terbabit. Semakin dinafi, semakin menjadi-jadi pula rentetan cerita yang bukan-bukan. Katanya, perkara yang tak betul, diada-adakan. Katanya lagi, jika hal ini terus menjadi keterlaluan, dia mungkin akan mengambil tindakan sewajarnya.

 “Dalam hal ini, saya yakin setiap manusia termasuklah golongan artis tetap mempunyai batasan tertentu. Inilah kekecewaan saya yang ada kalanya sukar untuk diluahkan. Malah, jujur saya akui kadang-kadang terbit juga rasa malas untuk berjumpa media kerana soalan yang sama (berkaitan Maya) terus ditanya. “Saya sedar sebagai artis, adalah lumrah jika gosip dan kontroversi terus datang menerjah. Tapi semuanya di luar kawalan diri.

Ada kalanya apabila perasaan marah itu menguasai diri, kita boleh berada di luar kawalan. Terutamanya hal membabitkan gosip sebegini yang dikira agak melalut. “Kalau ada bukti kami berada di Jakarta, sila tunjukkan. Jangan sekadar bercakap. Lebih baik cerita yang tidak sahih ini ditanya dulu kepada empunya badan.

Seperti kata pepatah, kalau tak tahu bertanya, bimbang sesat jalan dan memakan diri,” katanya yang akhirnya memutuskan untuk tidak mengikat kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro atas sebab tertentu. Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 itu bagaimanapun sedar, dia tidak boleh terus tewas dan melatah dengan apa yang menghimpitnya kini. Ia sebenarnya bayaran yang harus diterima Remy kerana memilih jalan untuk bergelar artis.

 “Selesai satu masalah, datang lagi satu masalah lain. Seperti kita menerima rezeki daripada Tuhan, sesekali kita diuji dengan masalah yang mengharapkan kita akan terus kuat daripada hari sebelumnya. Insya-Allah, saya akan terus tegar melaluinya.

 “Cuma yang saya bimbangkan ialah kesihatan mak. Dulu pun dia pernah jatuh sakit apabila mendengar cerita tak elok mengenai saya. Persekitaran di Kuala Lumpur dan di kampung saya berbeza.
Mereka di sana lebih cepat membuat kesimpulan dan bercerita mengikut apa yang didengar tanpa mengetahui kebenarannya,” luah Remy penuh bimbang.
1 Komentar untuk "REMY ISHAK NAFI PERGI JAKARTA DENGAN AWEK "

dah lumrah jadi artis ni..tak boleh lari dari gosip2 n berita yang belum tentu kesahihannya

Seni menghuraikan topik adalah curahan dari rasa hati yang merasa. Anda boleh memberikan maklumbalas sesuka hati anda. Tapi sebarang ulasan yang tidak berkaitan dengan topik mohon dielakkan. Begitu juga ulasan yang bersifat memalukan. Terima kasih kerana bekerjasama.

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info - PB Networks - Buku Rujukan PTD