Pblegacy.Org™

Pblegacy.Org™ | Blog TravelBlogger di bawah payung Pblegacy Network™

Teks Ucapan Penuh Belanjawan 2013.

YAB DATUK SERI NAJIB RAZAK
PERDANA MENTERI DAN MENTERI
KEWANGAN

“MEMAKMUR NEGARA,
MENSEJAHTERA RAKYAT:
SEBUAH JANJI DITEPATI”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya
Rang Undang-undang bertajuk
“Suatu Akta bagi menggunakan
sejumlah wang daripada Kumpulan
Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2013 dan
bagi memperuntukkan wang itu
untuk perkhidmatan bagi tahun itu”
dibaca bagi kali kedua.

MUQADDIMAH

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet
2013 dengan kalimah mulia
Bismillahirrahmanirrahim dan
memetik sepotong ayat dari Surah
Al-Baqarah yang diturunkan di
Madinah, bahawa :

“Berlumba-lumbalah kamu
mengerjakan kebaikan, kerana
di mana sahaja kamu berada
pasti Allah akan
menghimpunkan kamu semua
pada hari kiamat untuk
menerima balasan.
Sesungguhnya Allah Maha
Berkuasa atas tiap-tiap
sesuatu.”

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya berdiri di dewan yang mulia
pada petang Jumaat yang
berbahagia, penghulu segala hari,
untuk membentangkan bajet kelima
bagi pihak Kerajaan semenjak mula
memegang amanah selaku Menteri
Kewangan Malaysia pada tahun
2008. Syukur ke hadrat Allah SWT
kerana di atas limpah rahmatNya
jua, kita telah menyaksikan
sepanjang tempoh tersebut, melalui
usaha kolektif rakan-rakan anggota
pentadbiran dengan sokongan ahli-
ahli parlimen, penjawat awam dan
seluruh rakyat Malaysia, negara
tercinta ini telah berjaya dilindungi
daripada kesan terburuk akibat
kegawatan kewangan global.
Bahkan, ekonomi negara telah
diletakkan di landasan pertumbuhan
mapan ke arah transformasi sebagai
sebuah negara maju berpendapatan
tinggi. Manakala kesejahteraan
rakyat pula telah dipertingkatkan
secara berterusan.

2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini
sebagai penerus tradisi terbaik
Kerajaan Barisan Nasional
memakmurkan negara dan
membawa kesejahteraan kepada
semua rakyat. Ia manifestasi sebuah
janji yang ditepati. Sejak 55 tahun
lalu, pada setiap peringkat
pembangunan negara, rakyat
Malaysia telah meletakkan
kepercayaan mereka kepada
Kerajaan yang sama. Terima kasih
kita ucapkan atas kepercayaan
tersebut. Sekali-kali sepanjang masa
dan musim berguling ia tidak
pernah dikhianati, sebaliknya pada
setiap ketika ia telah dibalas dengan
laba pada julat berganda.

3. Kerajaan ini hakikatnya tidak
pernah menjanjikan bulan, bintang
mahupun cakerawala. Kita tidak
pernah melakar lukisan yang pada
hari ini tampak muluk-muluk dan
indah tetapi sebenarnya berupa
racun yang berbisa. Sebagai
Kerajaan yang bertanggungjawab,
kita tetap menceritakan kebenaran
biarpun kelat. Kita tidak pernah
mendodoi rakyat dengan dogengan
lipurlara sebaliknya sentiasa
menawarkan penyelesaian serta
kepimpinan bitara terhadap segala
permasalahan rakyat.

4. Telah terbukti tanpa tersanggah
lagi bahawa ekonomi Malaysia
merupakan ekonomi berteraskan
rakyat. Ia hasil wawasan dan
aspirasi rakyat. Ia merupakan
manifestasi kerja keras dan jerih
payah rakyat. Ia sumbangan
masyarakat desa dan bandar,
golongan profesional serta pekerja
kolar biru, petani, buruh, peladang,
pekebun kecil, nelayan, guru,
pensyarah dan karyawan. Didukung
pula para penjawat awam dan
usahawan. Di atas segalanya, ia
diuruskan secara teliti dan
berhemah oleh Kerajaan yang
meletakkan kebajikan rakyat di atas
jemalanya. Inilah formula kejayaan
Malaysia.

5. Sayugia, mengurus sebuah negara
majmuk yang kompleks seperti
Malaysia bukan perkara mudah. Ia
memerlukan keikhlasan dan
kebijaksanaan kerana rakyat
Malaysia amat cerdik menilai yang
mana intan dan yang mana kaca.
Hakikat rakyat telah memberi
mandat kepada Kerajaan ini
sebanyak 12 kali tanpa putus
semenjak 1959 bermakna sesuatu
yang betul telah dilakukan oleh
Kerajaan sedia ada.

6. Sesungguhnya waad yang wujud
itu, di antara rakyat dan Kerajaan
selama ini mana mungkin mampu
dipunahkan waima sekuat mana
pun fitnah dan mehnah melanda.
Sehubungan itu, naskah bajet yang
akan saya persembahkan ini
merupakan sebuah penghargaan
kepada seluruh rakyat Malaysia
lantaran terus meletakkan
kepercayaan kepada kami di
sepanjang ketika.

PRESTASI EKONOMI 2012 DAN
PROSPEK 2013

Tuan Yang di-Pertua,

7. Kerajaan komited dalam
memastikan pertumbuhan ekonomi
negara terus berkembang meskipun
dalam persekitaran global yang
tidak menentu dan mencabar. Asas
ekonomi yang kukuh serta disokong
oleh sistem monetari akomodatif
telah membolehkan ekonomi negara
berada di landasan teguh. Dalam
tempoh separuh pertama 2012,
ekonomi negara tumbuh pada kadar
5.1 peratus didorong, terutamanya
oleh kekukuhan aktiviti pelaburan
dan penggunaan swasta. Negara
terus menerima kemasukan
pelaburan langsung asing bersih
berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras
dengan peningkatan keyakinan
pelabur terhadap Malaysia sebagai
destinasi pelaburan pilihan utama.

8. Bagi keseluruhan tahun 2012,
walaupun pertumbuhan ekonomi
dan perdagangan dunia sederhana,
pertumbuhan ekonomi negara
dijangka berkembang kukuh pada
kadar 4.5 hingga 5 peratus.
Pertumbuhan ini dipacu oleh
pelaburan swasta sebanyak 11.7
peratus atau mencapai 127.9 bilion
ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar
berbanding jumlah pelaburan
sebanyak 81 bilion ringgit pada
tahun 2009. Trend ini menunjukkan
aktiviti pelaburan domestik
semakin rancak, terutama dengan
pelaksanaan projek-projek di bawah
Program Transformasi Ekonomi. Ini
mendorong sektor pembinaan terus
melonjak tinggi sebanyak 15.5
peratus berbanding 4.6 peratus
pada tahun 2011.

9. Persekitaran ekonomi domestik
yang mantap juga mendorong bursa
saham mencatat prestasi yang
menggalakkan. Ini terbukti dengan
Indeks Komposit Bursa Malaysia
telah mencecah rekod tertinggi
1,654.11 mata pada 4 September
2012. Nilai modal pasaran telah
meningkat sebanyak 44 peratus
daripada 999 bilion ringgit pada
akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion
ringgit pada akhir Julai 2012.
Pendapatan per kapita pula
meningkat kepada hampir 31 ribu
ringgit pada tahun 2012 berbanding
25 ribu ringgit pada tahun 2009.
Rizab antarabangsa pada 14
September 2012 pula kekal kukuh
mencatat 432.2 bilion ringgit,
mampu membiayai 9.5 bulan import
tertangguh dan 3.9 kali hutang luar
jangka pendek.
10. Pada tahun 2013, berdasarkan
persekitaran ekonomi global yang
dijangka lebih baik, pertumbuhan
ekonomi negara diunjur
berkembang lebih kukuh pada
kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung
kalinya, Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) nominal dijangka
melepasi paras 1 trilion ringgit.
Pertumbuhan lebih baik ini
didorong oleh pelaburan dan
penggunaan swasta sebanyak 13.3
peratus dan 5.7 peratus. Sektor
pembinaan dijangka terus
meningkat kukuh 11.2 peratus
diikuti oleh sektor perkhidmatan
pada kadar 5.6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
11. Bajet 2013 akan menyediakan
peruntukan sejumlah 251.6 bilion
ringgit bagi melaksanakan semua
langkah, program dan projek
pembangunan, menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat dan
pembangunan negara. Daripada
jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit
adalah bagi perbelanjaan mengurus
dan 49.7 bilion ringgit bagi
peruntukan pembangunan.
12. Di bawah peruntukan mengurus,
sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah
bagi Emolumen dan 33.7 bilion
ringgit disediakan bagi
Perkhidmatan dan Bekalan.
Manakala, 107.3 bilion ringgit
diperuntukkan kepada Pemberian
dan Kenaan Bayaran Tetap.
Sejumlah 1.1 bilion ringgit
disediakan untuk Pembelian Aset
dan baki 1.2 bilion ringgit untuk
perbelanjaan lain.
13. Bagi peruntukan pembangunan
pula, sejumlah 30 bilion ringgit
disediakan bagi sektor ekonomi
untuk menampung keperluan
infrastruktur, perindustrian serta
pertanian dan pembangunan luar
bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit
diperuntukkan bagi sektor sosial,
termasuk pendidikan dan latihan,
kesihatan, kebajikan, perumahan
serta pembangunan masyarakat.
Seterusnya, 4.6 bilion ringgit
diperuntukkan bagi pembangunan
sektor keselamatan, 2 bilion ringgit
bagi pentadbiran am dan 2 bilion
ringgit untuk simpanan luar jangka.
14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan
Persekutuan bagi tahun 2013,
jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion
ringgit, berbanding 207.2 bilion
ringgit pada tahun 2012. Dengan
mengambil kira anggaran hasil dan
perbelanjaan, defisit Kerajaan
Persekutuan akan terus
berkurangan kepada 4.0 peratus
daripada KDNK bagi tahun 2013,
berbanding 4.5 peratus pada tahun
2012. Ini menunjukkan Kerajaan
komited untuk terus mengurangkan
defisit fiskal ke paras lebih rendah.
FOKUS BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
15. Bajet 2013 digubal dengan fokus
untuk meningkatkan taraf hidup
rakyat di seluruh negara,
memastikan pertumbuhan ekonomi
mapan, perbelanjaan berhemah dan
mengurangkan defisit fiskal negara
dengan matlamat keseluruhan
mengutamakan kesejahteraan
rakyat. Kerajaan akan memastikan
rakyat mendapat perkhidmatan
terbaik serta manfaat maksimum
hasil daripada pelaksanaan program
dan projek pembangunan. Oleh itu,
Bajet 2013 dirangka bertemakan
“MEMAKMUR NEGARA,
MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH
JANJI DITEPATI” dengan memberi
penekanan kepada lima fokus
utama.
FOKUS PERTAMA: MERANGSANG
AKTIVITI PELABURAN
Tuan Yang di-Pertua,
16. Pertumbuhan ekonomi negara
akan terus dipacu oleh pelaburan
langsung asing dan domestik. Dalam
tempoh separuh pertama 2012,
pelaburan swasta meningkat kepada
75.3 bilion ringgit berbanding 59.8
bilion ringgit bagi tempoh yang
sama tahun 2011. Trend ini dijangka
berterusan dalam tahun 2013
dengan pelaburan swasta dijangka
meningkat kepada 148.4 bilion
ringgit.
17. Kerajaan akan terus
memperhebatkan pelaksanaan 12
Bidang Utama Ekonomi Negara.
Sejumlah 3 bilion ringgit
diperuntukkan bagi pelaksanaan
projek permulaan bagi tahun 2013.
Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi
projek pertanian seperti kelapa
sawit, getah, herba bernilai tinggi
dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit
diperuntukkan untuk projek River
of Life bagi mengindahkan Sungai
Klang. Manakala, 300 juta ringgit
lagi untuk projek pemulihan
rangkaian paip dan pembentungan
bagi perkhidmatan dan kemudahan
air.
Menggalak Pelaburan Domestik
Tuan Yang di-Pertua,
18. Seterusnya, bagi merangsang
pelaburan domestik dan
mempercepatkan penyertaan
syarikat Malaysia dalam rantaian
bekalan global, Kerajaan telah
menyediakan Dana Strategik
Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion
ringgit di bawah Lembaga
Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Dana ini bertujuan memanfaatkan
aktiviti penyumberan luar dan
pemerolehan teknologi oleh
syarikat tempatan. Selain itu,
Kerajaan juga memperkenalkan
semula insentif pengambilalihan
syarikat asing dan kadar cukai khas
bagi menggalakkan penyedia
perkhidmatan tempatan bergabung
menjadi entiti lebih besar.
Mempergiat Perusahaan Kecil dan
Sederhana
19. Seperti kita maklum, Perusahaan
Kecil dan Sederhana (PKS)
memainkan peranan penting dalam
transformasi ekonomi negara. Bagi
mempercepatkan pertumbuhan
industri PKS dan perluasan skop
kawasan industri di seluruh negara,
dana sebanyak 1 bilion ringgit akan
disediakan di bawah Skim
Pembangunan PKS bawah kendalian
SME Bank. Langkah ini
memudahkan akses PKS untuk
mendapat pembiayaan dan
seterusnya memajukan perniagaan
mereka.
20. Ini selari dengan Pelan Induk
PKS (2012 - 2020) yang telah
dilancarkan yang bertindak sebagai
‘game changer’ untuk
mempercepatkan pertumbuhan PKS
melalui inovasi dan produktiviti.
Pelan induk ini melibatkan
pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6
Program Berimpak Tinggi dengan
peruntukan 30 juta ringgit.
21. Dalam mempergiatkan Industri
Halal, terutamanya membangunkan
produk-produk halal berimpak
tinggi untuk tujuan eksport, SME
Bank dengan kerjasama Bank
Pembangunan Islam akan
menyediakan Dana Industri Halal
sebanyak 200 juta ringgit bagi
membiayai modal kerja PKS terlibat.
22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta
penjaja dan peniaga kecil
menjalankan perniagaan secara
tradisional dengan struktur
perniagaan kecil dan pendapatan
harian tidak menentu. Sehubungan
itu, sebagai tanda keprihatinan
dengan kekangan yang dihadapi
oleh mereka sekiranya berlaku
kemudaratan diri, hilang upaya
serta kematian, Kerajaan
mencadangkan skim perlindungan
insurans berkelompok kepada
penjaja dan peniaga kecil yang
berdaftar dengan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia. Skim ini akan
memberi had perlindungan
maksimum sehingga 5,000 ringgit.
Buat pertama kalinya, Kerajaan akan
membiayai skim ini dengan
peruntukan sebanyak 16 juta ringgit
setahun.
23. Di samping itu, Perbadanan
Nasional Berhad (PNS) akan
memperkenalkan program Business
In Transformation bagi menyokong
usaha bersepadu memodenkan
perniagaan golongan penjaja dan
peniaga kecil kepada standard yang
lebih tinggi dan berdaya saing
dengan menggunakan model
licensing atau franchising. Program
ini akan memberi bimbingan dan
khidmat nasihat ke atas konsep
perniagaan baru seperti kedai
bergerak, kiosk dan perniagaan atas
talian. Untuk ini, PNS akan
menyediakan kemudahan kepada
penjaja dan peniaga kecil dengan
pinjaman sehingga 25 ribu ringgit
bagi licensee dan 500 ribu ringgit
kepada licensor.
Malaysia Sebagai Hab Minyak dan
Gas
Tuan Yang di-Pertua,
24. Kita bersyukur kerana
dikurniakan punca galian berharga
iaitu minyak dan gas asli di pesisir
pantai. Kerajaan bermatlamat
menjadikan Malaysia daripada
sekadar pengeluar, kepada salah
satu hab dagangan minyak dan gas
bersepadu utama dunia.
25. Jadi, Kerajaan telah mengambil
beberapa langkah strategik
meningkatkan keupayaan negara
terutamanya dalam menyediakan
ekosistem yang berupaya
menyokong pembangunan rantaian
penapisan, penyimpanan dan
dagangan. Bagi mendokong
penglibatan pengusaha swasta
dalam pembangunan industri
minyak dan gas, pelbagai insentif
cukai dan insentif bukan cukai
istimewa telah dirangka. Ini
termasuk bantuan kos
pengambilalihan tanah dan bantuan
kewangan sebagai tipping point
projek perkongsian awam swasta,
pengecualian cukai pendapatan 100
peratus untuk tempoh 10 tahun,
pengecualian cukai pegangan dan
pengecualian duti setem.
26. Bagi pelaburan dalam aktiviti
penapisan produk petroleum, Elaun
Cukai Pelaburan sebanyak 100
peratus untuk tempoh 10 tahun
diberi kepada yang layak. Hasil
insentif, pelbagai projek pelaburan
minyak dan gas bernilai 20 bilion
dolar US telah dimulakan termasuk
projek Petronas Refinery and
Petrochemical Integrated
Development atau Rapid, Terminal
Simpanan Minyak dan Gas di Johor,
Loji Regasifikasi di Melaka dan
terminal minyak serta gas di
Sipitang, Sabah.
27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga
telah melancarkan Program Global
Incentive for Trading atau GIFT
dengan galakan cukai pada kadar 3
peratus. Sehubungan dengan
permintaan global LNG yang
dijangka mencecah 400 juta tan
setahun pada tahun 2025, program
GIFT ditambah baik dengan
pengecualian cukai pendapatan 100
peratus ke atas pendapatan
berkanun untuk tempoh 3 tahun
pertama operasi bagi syarikat
dagangan. Dagangan komoditi yang
diluluskan akan diperluaskan
kepada lain-lain komoditi seperti
pertanian, bahan mentah bertapis,
logam asas dan kimia.
Merancak Sektor Pelancongan
Tuan Yang di-Pertua,
28. Industri pelancongan merupakan
satu sektor pertumbuhan ekonomi
penting yang menyumbang hampir
12 peratus KDNK. Jumlah
pendapatan daripada sektor
pelancongan dianggar akan
meningkat kepada 62 bilion ringgit
pada tahun 2012. Sempena Tahun
Melawat Malaysia 2013/2014,
Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 358 juta ringgit di bawah
perbelanjaan pembangunan iaitu
peningkatan peruntukan sebanyak
42 peratus dengan sasaran
pelancong seramai 26.8 juta orang.
Kerajaan juga mencadangkan
lanjutan pengecualian cukai
pendapatan selama 3 tahun bagi
pengusaha pelancongan yang
mengendalikan sekurang-kurangnya
750 pelancong asing atau 1,500
pelancong tempatan setahun.
Meningkat Aktiviti Pertanian
29. Di sudut lain, Kerajaan akan
terus memberi penekanan kepada
sektor pertanian dalam usaha untuk
meningkatkan pendapatan negara
dan memastikan kelestarian
jaminan bekalan makanan.
Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion
ringgit, kepada Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani.
30. Kerajaan menyediakan sebanyak
30 juta ringgit bagi pembangunan
program pertanian merangkumi
aplikasi penggunaan teknologi tinggi
dalam pengeluaran buah dan
sayuran, peningkatan pembekalan
benih berkualiti, penstabilan harga
melalui jualan terus dari ladang,
pewujudan pasar ikan rakyat serta
penambahbaikan institusi latihan
pertanian. Kerajaan juga
mempersiapkan sebanyak 75 juta
ringgit bagi meningkatkan
pengeluaran produk makanan dan
kesihatan.
31. Bagi sektor perladangan pula, di
bawah NKEA, sebanyak 432 juta
ringgit disediakan untuk program
penanaman semula pokok kelapa
sawit. Langkah ini akan
meningkatkan tuaian hasil buah
sawit setahun pada kadar 26.2 tan
sehektar pada tahun 2020
berbanding 21 tan sehektar pada
masa ini. Di samping itu, sebanyak
127 juta ringgit disediakan untuk
pembangunan bahan terbitan oleo
bernilai tinggi yang dapat mengubah
komposisi industri hiliran ke arah
pengeluaran lebih banyak bahan
terbitan.
Kelestarian Jaminan Bekalan
Makanan
Tuan Yang di-Pertua,
32. Berkaitan kelestarian jaminan
bekalan makanan pada masa akan
datang, kawasan jelapang padi sedia
ada akan ditambahbaik dengan
sistem pengurusan tanamannya
secara sistematik. Sebagai
tambahan, 4 kawasan jelapang padi
baru akan dibuka dan diperluas
iaitu di Kota Belud, Batang Lupar,
Rompin dan Pekan. Pada masa ini,
kawasan jelapang padi bertanam
adalah seluas 389 ribu hektar yang
mampu menghasilkan sebanyak 1.8
juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi
kawasan jelapang padi baru seluas
19 ribu hektar dengan penyertaan
seramai 12,237 pesawah dijangka
menghasilkan 104 ribu tan metrik
dengan perbelanjaan sebanyak 140
juta ringgit.
Membela Nasib Petani dan
Nelayan
33. Kerajaan amat menghargai
sumbangan para nelayan dan
sentiasa memastikan kedudukan
sosioekonomi golongan ini
bertambah baik dan pendapatan
mereka meningkat. Pada masa ini,
Kerajaan memberi elaun bantuan
sara hidup 200 ringgit sebulan yang
dapat memanfaatkan 55 ribu
nelayan berdaftar. Kerajaan juga
menyediakan insentif pada kadar 10
sen hingga 20 sen sekilo bagi
menggalakkan nelayan mendaratkan
hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar
seluruh negara.
34. Kerajaan juga telah
memperkenalkan skim
perlindungan insurans nelayan
dengan perlindungan maksimum
100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat
ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan
memperuntukkan 230 juta ringgit
sebagai insentif tangkapan ikan dan
bayaran elaun bantuan sara hidup
nelayan. Di samping itu,
berdasarkan peruntukan 300 juta
ringgit pada Bajet 2012, program
pembangunan dan pembaikan
rumah nelayan sedang giat
dijalankan.
35. Bagi membantu para petani
mengurangkan kos pengeluaran
pula, Kerajaan akan meneruskan
pemberian subsidi dan insentif
pertanian sedia ada berjumlah 2.4
bilion ringgit. Bantuan ini termasuk
subsidi dan insentif untuk sektor
padi yang merangkumi Pemberian
Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit,
Pemberian Subsidi Baja Padi - 465
juta ringgit, Insentif Peningkatan
Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif
Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit,
Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit
dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta
ringgit.
36. Selaras dengan komitmen untuk
menjaga kebajikan rakyat, terutama
pengusaha sawah, buat julung
kalinya, Kerajaan akan
memperkenalkan Skim
Perlindungan Takaful Padi. Skim ini
memberi kemudahan perlindungan
kepada pengusaha sawah di bawah
10 hektar dan dijangka dapat
memanfaatkan 172 ribu pesawah.
Jumlah pampasan yang dapat
diterima dianggarkan bernilai 13
ribu ringgit setiap pesawah. Buat
permulaan, Kerajaan akan
memperuntukkan 50 juta ringgit.
37. Selain itu, Kerajaan akan
meneruskan Projek Azam Tani yang
diperkenalkan pada tahun 2011.
Program ini telah berjaya
mengeluarkan seramai 1,234
keluarga daripada garis kemiskinan
dengan purata pendapatan
meningkat di antara 200 hingga
2,000 ringgit sebulan malah
beberapa peserta telah berjaya
mendapat pendapatan melebihi 10
ribu ringgit sebulan. Untuk
memperkasakan lagi usaha ini,
sebanyak 41 juta ringgit akan
diperuntukkan bagi memberi
manfaat kepada 6,730 peserta.
Mencergaskan Pasaran Modal dan
Kewangan
Tuan Yang di-Pertua,
38. Pasaran modal negara
berkembang pesat walaupun
terdapat ketidaktentuan dalam
ekonomi global. Malaysia terus
menerajui terbitan sukuk dengan
menyumbang 71 peratus atau 171
bilion ringgit daripada jumlah
terbitan sukuk global dalam tempoh
tujuh bulan pertama 2012. Ini
terbukti dengan terbitan sukuk
tunggal terbesar di dunia oleh PLUS
Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.
39. Di samping itu, industri
pengurusan dana dan amanah
saham menunjukkan pertumbuhan
kukuh dalam tempoh pertama 2012
dengan aset yang diuruskan
meningkat kepada 451.9 bilion
ringgit dan nilai aset bersih
sebanyak 277.8 bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti
negara telah mencatat peningkatan
yang monumental dengan
menyaksikan tawaran awam awal
atau IPO yang bernilai 17.4 bilion
ringgit. Ia merupakan peningkatan
162 peratus berbanding 2011.
Sejarah tercipta apabila dua
daripada tiga IPO terbesar di dunia
iaitu Felda Global Ventures Holdings
(FGVH) dengan nilai 9.9 bilion
ringgit dan IHH Healthcare Berhad
dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah
diterbitkan. Terkini, Astro akan
disenaraikan pada bulan Oktober
2012 dengan jangkaan nilai terbitan
yang besar.
41. Untuk terus mencergaskan
pasaran modal dan ekuiti negara,
Suruhanjaya Sekuriti akan
menyediakan rangka kerja bagi
terbitan AgroSukuk untuk syarikat
yang terlibat dalam sektor
pertanian, terutamanya dengan
kejayaan penyenaraian FGVH.
Dengan terdapatnya instrumen
seperti AgroSukuk, ia dapat
mengumpulkan modal bagi
membiayai syarikat-syarikat
pertanian dan industri asas tani.
Justeru, untuk menggalakkan
terbitan AgroSukuk, Kerajaan
mencadangkan perbelanjaan bagi
menerbitkan sukuk tersebut diberi
potongan cukai dua kali bagi
tempoh 4 tahun mulai tahun
taksiran 2012 hingga 2015.
42. Selain daripada pelabur institusi,
buat pertama kalinya, Kerajaan
menggalakkan pelabur runcit
menyertai pasaran modal. Bagi
tujuan ini, SC telah menyediakan
satu rangka kerja terbitan bon dan
sukuk runcit untuk membolehkan
pelabur-pelabur runcit memiliki
pegangan dalam pasaran bon dan
sukuk. Sebagai permulaan,
DanaInfra Nasional Berhad akan
menerbitkan bon runcit bernilai 300
juta pada akhir tahun 2012 untuk
membiayai pembangunan projek
MRT.
43. Bagi mendorong syarikat
menerbitkan bon dan sukuk runcit,
Kerajaan mencadangkan
perbelanjaan tambahan
menerbitkan bon dan sukuk runcit
tersebut diberi potongan cukai dua
kali mulai tahun taksiran 2012
hingga 2015. Pada masa yang sama,
pelabur individu pula, diberi
pengecualian duti setem ke atas
surat cara yang terlibat dalam urus
niaga bon dan sukuk runcit.
44. Suruhanjaya Sekuriti akan
menubuhkan Pusat Promosi Pasaran
Modal bagi memastikan
keberkesanan dan promosi secara
holistik pasaran modal Malaysia di
peringkat antarabangsa. Pusat ini
akan memastikan pendekatan
bersepadu dengan menyediakan
inisiatif yang konsisten untuk
menempatkan Malaysia sebagai
destinasi pelaburan dan pendanaan.
45. Bagi meningkatkan penawaran
golongan profesional untuk
menyokong pertumbuhan pasaran
modal, SC akan memperkenalkan
inisiatif Graduate Representative
Program. Program ini akan
dilaksanakan dengan kerjasama
sektor swasta bagi melatih 1,000
graduan supaya dapat memenuhi
keperluan industri sekuriti dan
derivatif.
Menggalakkan Amanah
Perniagaan (Business Trust)
Tuan Yang di-Pertua,
46. Pengendalian perniagaan melalui
suatu entiti amanah mempunyai
kelebihan tertentu, terutamanya
dari segi meningkatkan keupayaan
untuk memperoleh sumber
kewangan berdasarkan aset yang
dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah
meminda Akta Pasaran Modal dan
Perkhidmatan 2007 untuk
menyediakan pilihan pengendalian
perniagaan melalui struktur baru
iaitu amanah perniagaan (business
trust).
47. Selaras dengan ini, Kerajaan
mencadangkan amanah perniagaan
diberi layanan cukai sama seperti
sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi
menggalakkan pembangunan
amanah perniagaan, adalah
dicadangkan pindah milik
perniagaan, aset dan hartanah milik
syarikat kepada amanah perniagaan
diberi pengecualian duti setem dan
pengecualian cukai keuntungan
harta tanah di peringkat awal
penubuhan amanah perniagaan.
48. Kerajaan telah menubuhkan
Danajamin Nasional Berhad agar
syarikat yang berdaya maju
mendapat dana melalui pasaran bon
pada kos yang munasabah.
Danajamin telah meluluskan
jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit
nilai terbitan bon kepada 30 syarikat
dengan 4.2 bilion ringgit bon dan
sukuk telah diterbitkan. Langkah ini
telah membolehkan syarikat
menjana aktiviti ekonomi dalam
pelbagai sektor termasuk hartanah,
infrastruktur, perladangan, minyak
dan gas, pembinaan, perkilangan
serta penerbangan.
49. Bagi merancakkan lagi akses
syarikat ke pasaran modal, Kerajaan
akan menambah peruntukan modal
Danajamin sebanyak 400 juta ringgit
dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini
dapat melipatgandakan nilai
terbitan antara 4 hingga 6 bilion
ringgit.
50. Kerajaan turut mengumumkan
penubuhan Yayasan Pasaran Modal
sebagai usaha bersepadu
meningkatkan kompetensi dan
keupayaan untuk bersaing dalam
landskap pasaran modal yang lebih
dinamik. Yayasan ini akan memberi
fokus kepada 3 aspek utama iaitu
pembangunan PKS; menggalak dan
menyokong produk inovasi dan
pembangunan modal insan.
Sehubungan dengan itu, sejumlah
100 juta ringgit akan disediakan
kepada Yayasan ini melalui Tabung
Pembangunan Pasaran Modal di
bawah kawal selia SC.
51. Sebagai salah satu inisiatif untuk
menjadikan Malaysia sebagai hab
kewangan antarabangsa serta
menarik FDI, Kerajaan telah
melancarkan Tun Razak Exchange
atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan
nilai pembangunan kasar sebanyak
26 bilion ringgit. TRX akan memberi
peluang pelaburan baru dengan
menghubungkan komuniti
perniagaan dan pasaran global. TRX
dijangkakan menarik 250 syarikat
perkhidmatan kewangan
antarabangsa dan menawarkan 40
ribu peluang pekerjaan mahir dan
berpengetahuan.
52. Untuk mengalakkan institusi
kewangan antarabangsa utama
menjadikan Kuala Lumpur sebagai
pilihan pelaburan, pengecualian
cukai pendapatan bagi tempoh 10
tahun kepada syarikat berstatus
TRX, pengecualian duti setem, elaun
bangunan industri, elaun modal
dipercepatkan kepada syarikat
berstatus TRX Marquee dan
pengecualian cukai bagi pemaju
hartanah telah diberikan. Kerja
pembinaan awal TRX berjalan lancar
mengikut jadual. Manakala,
pengalihan kemudahan utiliti sedia
ada di tapak TRX pula sedang giat
dijalankan dan dijangka selesai pada
Oktober 2012.
Wakaf Korporat
Tuan Yang di-Pertua,
53. Kerajaan mengambil maklum
bahawa Majlis Agama Islam Negeri
merupakan pemegang amanah
tunggal bagi semua wakaf dan dana
wakaf dalam sesebuah negeri.
Institusi wakaf di Malaysia tidak
hanya tertumpu pada pembangunan
tanah semata-mata tetapi juga
merangkumi wakaf dalam bentuk
tunai, saham dan instrumen
kewangan lain yang dikategorikan
sebagai wakaf korporat. Selaras
dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia
di bawah Jabatan Wakaf Zakat dan
Haji (JAWHAR) akan diberi
tanggungjawab untuk merangka
pelan induk Wakaf Korporat
mengambil kira struktur
perundangan Agama Islam Negeri.
Pelan induk ini bakal menjadi
platform pembangunan wakaf
korporat di Malaysia.
Pembangunan Usahawan
Bumiputera
Tuan Yang di-Pertua,
54. Kerajaan sentiasa komited dalam
memastikan syarikat Bumiputera
dapat bersaing secara seimbang
dalam pemilikan syarikat besar,
pekerjaan berpendapatan tinggi
serta pelaburan dalam sektor utama
ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti
Bumiputera telah meningkat kepada
23 peratus berbanding 22 peratus
pada tahun 2008. Salah satu usaha
ialah meningkatkan penglibatan
syarikat Bumiputera dalam
pelaksanaan jajaran pertama projek
MRT. Sesungguhnya, penglibatan
syarikat Bumiputera dalam projek
berimpak tinggi seperti MRT akan
meningkatkan keupayaan dan
kemahiran syarikat Bumiputera
tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion
ringgit atau 43 peratus daripada
nilai kos infrastruktur projek MRT
diperuntukkan kepada syarikat
Bumiputera.
55. Usaha juga akan diambil bagi
membantu syarikat PKS Bumiputera
untuk berkembang dan
mempertingkatkan pegangan ekuiti
dalam sektor ekonomi. Sehubungan
ini, Dana Pembiayaan Bumiputera
berjumlah 1 bilion ringgit akan
disediakan oleh SME Bank. Dana ini
dijangka dapat membantu PKS
tempatan bagi tujuan membiayai
pengambilalihan anak syarikat milik
GLC yang menjalankan aktiviti
bukan teras dan telah dikenal pasti
untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah
mengenal pasti anak-anak syarikat
yang berpotensi untuk dijual kepada
pelabur-pelabur Bumiputera.
56. Kerajaan telah memperkenalkan
Skim Jaminan Modal Kerja dengan
dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi
membantu syarikat PKS
mendapatkan akses pembiayaan
modal kerja. Skim ini memberi
jaminan maksimum sehingga 2.5
juta ringgit bagi setiap syarikat yang
layak. Pada masa ini, dana Skim ini
yang dikhaskan kepada syarikat
Bumiputera masih berbaki 900 juta
ringgit. Bagi menarik lebih banyak
syarikat bumiputera menikmati
kemudahan Skim ini, Kerajaan akan
melanjutkan tempoh tamat program
skim ini sehingga 31 Disember 2013,
memperluas skim ini kepada
syarikat Bumiputera Berprestasi
Tinggi dan meningkatkan kelayakan
dana pemegang saham syarikat
daripada 10 juta ringgit kepada
tidak melebihi 20 juta ringgit.
57. Kemudahan pinjaman secara
mudah dan cepat sering kali menjadi
kekangan kepada usahawan kecil
terutama Bumiputera. Dengan
tertubuhnya Tabung Ekonomi
Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),
usahawan kecil kini mampu
memulakan dan memajukan lagi
perniagaan mereka. Sehingga kini,
TEKUN telah menyalurkan pinjaman
sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada
224,175 usahawan kecil di seluruh
negara termasuk sejumlah 34.5 juta
ringgit kepada 4,212 usahawan
masyarakat India di bawah Skim
Pembangunan Usahawan
Masyarakat India. Bagi tahun 2013,
Kerajaan menyediakan peruntukan
sebanyak 350 juta ringgit, termasuk
daripadanya 50 juta ringgit kepada
masyarakat India.
FOKUS KEDUA: MEMPERKASA
PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025
58. Sememangnya sejak merdeka,
Kerajaan telah menjadikan bidang
pendidikan sebagai agenda utama
negara. Kerajaan juga menyedari
pelaburan dalam bidang ini adalah
prasyarat kepada sebuah negara
yang makmur dan pembangunan
rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap
tahun menyaksikan peruntukan
besar dan kali ini 21 peratus
daripada keseluruhan bajet. Namun,
didapati hasil yang diperolehi tidak
setara dengan pelaburan yang telah
dibuat. Maka, pada 11 September
lepas, Kerajaan melalui Kementerian
Pelajaran telah melancarkan
Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi
memastikan sistem pendidikan
negara akan mampu
mengoptimumkan potensi setiap
anak Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7
bilion ringgit telah diperuntukkan
kepada Kementerian Pelajaran
meliputi peruntukan mengurus dan
pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah
meningkat upaya kompetensi dan
kualiti guru merupakan prasyarat
kritikal yang menunjang kejayaan
sistem pendidikan negara. Oleh itu,
bagi menjana mula prakarsa ini, di
samping 38.7 bilion ringgit
peruntukan kepada Kementerian
Pelajaran bagi perbelanjaan
mengurus dan pembangunan,
Kerajaan akan menyediakan
peruntukan tambahan sebanyak 500
juta ringgit bagi meningkatkan
kemahiran guru dalam pengajaran
subjek-subjek teras, yakni Bahasa
Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains
dan matematik melalui pendekatan
Higher Order Thinking Skills.
Peruntukan ini juga merangkumi
penubuhan Unit Pelaksanaan
Pendidikan atau Education Delivery
Unit bagi memantau dan menilai
keberkesanan pelaksanaan
transformasi pelan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
61. Pada pembentangan Bajet 2012,
Kerajaan telah menyediakan
sebanyak 1 bilion ringgit di bawah
Tabung Khas Pembinaan,
Penambahbaikan dan
Penyelenggaraan Sekolah khusus
bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah,
penyelenggaraan, pembelian
peralatan dan pembinaan blok
tambahan. Untuk meneruskan
komitmen Kerajaan, sukacita saya
mengumumkan tambahan 1 bilion
ringgit lagi kepada Tabung khas ini.
Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit
akan disalurkan kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100
juta ringgit Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit
Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit
Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,
100 juta ringgit Sekolah Berasrama
Penuh dan 100 juta ringgit kepada
Maktab Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan Awal
Kanak-Kanak
Tuan Yang di-Pertua,
62. Melangkah ke ruang pendidikan
awal kanak-kanak, kualiti
pendidikan prasekolah amat penting
sebagai platform melengkapkan
kanak-kanak dengan pendidikan
asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion
ringgit disediakan bagi tujuan
pendidikan prasekolah termasuk
kepada Jabatan Kemajuan
Masyarakat, Kementerian Pelajaran,
PERMATA dan Jabatan Perpaduan
dan Integrasi Nasional. Sebagai
tambahan, sebanyak 380 juta ringgit
disediakan di bawah Kementerian
Pelajaran untuk penempatan guru
prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska
dan pusat jagaan kanak-kanak yang
berkualiti pula, demi memastikan
kanak-kanak mendapat penjagaan
sempurna di samping
membangunkan perkembangan
minda yang positif, Kerajaan
mencadangkan insentif-insentif
berikut:
Pertama: Geran pelancaran 10 ribu
ringgit kepada penyedia Pusat
Pendidikan Awal Kanak-kanak
(ECCE) swasta untuk membantu
mereka membuka taska baru yang
berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE
swasta baru akan mendapat
manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke
atas elaun atau subsidi yang diberi
kepada pekerja dan perbelanjaan
penyelenggaraan kemudahan taska
dan pusat jagaan kanak-kanak akan
diberi kepada majikan;
Ketiga: Pengecualian cukai
pendapatan bagi tempoh 5 tahun
dan elaun bangunan industri pada
kadar 10 peratus setahun diberi
kepada pengusaha taska dan pusat
jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat : Pengecualian cukai
pendapatan untuk tempoh 5 tahun
dan elaun bangunan industri pada
kadar 10 peratus setahun kepada
pengusaha pra-sekolah swasta.
64. Pada masa ini, kita dapati ramai
kanak-kanak kurang upaya dari
keluarga berpendapatan rendah
yang tidak mendapat pendidikan
awal kerana kekurangan taska OKU.
Untuk ini Kerajaan akan
melaksanakan projek perintis taska
OKU bagi 6 kategori kanak-kanak
OKU yang merangkumi down
syndrome, autisme, penglihatan,
pekak dan bisu, fizikal dan OKU
masalah pembelajaran.
Latihan dan Kemahiran
65. Berganjak kepada soal modal
insan, yang berpengetahuan, kreatif
dan inovatif, program latihan akan
dibentuk untuk mengasah
kemahiran baru selaras dengan
keperluan industri masa depan ke
arah ekonomi berpendapatan tinggi
dan maju. Bagi tujuan ini, pada
tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion
ringgit akan disediakan untuk
melatih pelajar dalam bidang
teknikal dan vokasional.
66. Setiap tahun hampir 180 ribu
graduan berkelulusan diploma dan
sarjana muda menamatkan
pengajian daripada institusi
pengajian tinggi. Untuk membantu
mereka yang masih menganggur,
maka Kerajaan akan melancarkan
Graduate Employability Blueprint
pada penghujung tahun 2012.
Rangka kerja ini akan memberi
tumpuan untuk memperkukuh
kebolehpasaran graduan. Dalam hal
ini, Kerajaan akan menubuhkan
Graduate Employability Taskforce
dengan peruntukan 200 juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan
Program Skim Latihan 1Malaysia
atau dikenali sebagai SL1M yang
bertujuan untuk meningkatkan
tahap kebolehpasaran graduan
melalui latihan soft-skills dan on-
job-training di syarikat swasta
melalui galakan potongan cukai dua
kali ke atas perbelanjaan oleh pihak
syarikat. Galakan ini telah diberi
mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun
2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan
440 juta ringgit kepada Perbadanan
Tabung Pembangunan Kemahiran
bagi memberi pinjaman kepada
pelatih untuk menjalani latihan
kemahiran. Langkah ini akan dapat
memanfaatkan hampir 40 ribu
pelatih di peringkat Sijil Kemahiran
Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan
juga memperuntukkan 366 juta
ringgit bagi menaik taraf serta
pembelian peralatan Institut Latihan
Perindustrian dan Institut
Kemahiran Belia Negara.
69. Pelbagai program latihan
kemahiran akan dilaksanakan
selaras dengan matlamat
mentransformasikan industri utama
negara berteras kepada teknologi
tinggi, berinovatif serta
berpendapatan tinggi. Ke arah ini,
tumpuan akan diberi bagi
melahirkan tenaga kerja profesional
dan berbakat di dalam industri
terpilih termasuk industri minyak
dan gas, perkapalan, ICT, kreatif
serta bioteknologi. Bagi tahun 2013,
dijangka seramai 5,000 pelatih akan
menyertainya. Di samping itu,
Petronas akan menggunakan
kemudahan Institut Kemahiran Belia
Negara di Pengerang, Johor untuk
melatih seramai 300 orang belia
menjelang akhir tahun ini dalam
bidang minyak dan gas bagi
memenuhi keperluan projek RAPID.
70. Kerajaan sedar tentang pelajar
miskin masyarakat India,
terutamanya dari estet-estet yang
tidak memperolehi keputusan yang
baik dalam peperiksaan dan tidak
berpeluang untuk mendapat
pekerjaan. Selaras dengan itu,
Kerajaan akan menyediakan
peruntukan sebanyak 50 juta ringgit
untuk melatih 3,200 pelajar
masyarakat India bagi
memperlengkapkan mereka dengan
kemahiran, selaras permintaan
pasaran. Latihan ini akan
dikendalikan oleh Institut Latihan
Perindustrian dan kolej-kolej di
bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71. Bagi memastikan golongan
pekerja swasta adalah sentiasa sihat
dan produktif dalam menyumbang
kepada pembangunan syarikat dan
ekonomi negara, aspek kesihatan
mesti diberi keutamaan. Untuk ini,
PERKESO akan menyediakan
peruntukan sebanyak 200 juta
ringgit bagi membolehkan ahlinya
seramai 1.4 juta orang menjalani
pemeriksaan kesihatan secara
percuma di hospital Kerajaan atau
klinik panel PERKESO. Pemeriksaan
kesihatan ini bertujuan untuk
mengesan penyakit tidak berjangkit,
kepada semua pekerja yang
berumur antara 40 hingga 55 tahun.
FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA
INOVASI, MENINGKAT
PRODUKTIVITI
Tuan Yang di-Pertua,
Harta Intelek (IP) Sebagai
Cagaran
72. Bagi membolehkan PKS
menggunakan harta intelek sebagai
nilai komersial dan instrumen untuk
mendapatkan pembiayaan
memajukan perniagaan, satu model
penilaian harta intelek akan
diwujudkan bagi membenarkan ia
dinilai secara komersial dan
seterusnya digunakan sebagai
cagaran memperoleh pembiayaan
dari institusi kewangan. Bagi
maksud ini, langkah-langkah berikut
akan dilaksanakan:
Pertama: Mewujudkan skim Dana
Pembiayaan Harta Intelek
berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini
akan ditawarkan oleh Malaysia Debt
Ventures. Kerajaan akan memberi
subsidi kadar faedah sebanyak 2
peratus dan jaminan sebanyak 50
peratus melalui Credit Guarantee
Corporation; dan
Kedua: Menyediakan peruntukan
sebanyak 19 juta ringgit bagi
program latihan penilai harta
intelek tempatan kendalian
Perbadanan Harta Intelek serta
mewujudkan platform pasaran harta
intelek.
Penyelidikan dan Pembangunan
Tuan Yang di-Pertua,
73. Aktiviti R&D pula akan terus
diberi penekanan. Pelbagai
penemuan dan hasil R&D institusi
penyelidikan awam berpotensi
untuk dikomersialkan. Maka,
Kerajaan memperuntukkan
sebanyak 600 juta ringgit kepada 5
buah universiti penyelidikan bagi
menjalankan penyelidikan berimpak
tinggi dalam bidang strategik seperti
nano teknologi, automatif, bio-
teknologi serta aero-angkasa.
74. Untuk merancakkan aktiviti
pengkomersialan penemuan R&D
institusi penyelidikan awam,
Kerajaan mencadangkan galakan
cukai sedia ada bagi
pengkomersialan penemuan R&D
berasaskan aktiviti sumber
diperluaskan kepada aktiviti
berasaskan bukan sumber yang
digalakkan di bawah Akta
Penggalakan Pelaburan 1986.
Galakan cukai tersebut adalah:
Pertama: Syarikat yang melabur
dalam syarikat subsidiarinya yang
menjalankan aktiviti
mengkomersialkan penemuan R&D
diberi potongan cukai bersamaan
dengan jumlah pelaburan yang
dibuat dalam syarikat subsidiari
tersebut; dan
Kedua: Syarikat subsidiari yang
menjalankan aktiviti
mengkomersialkan penemuan R&D
diberi pengecualian cukai
pendapatan sebanyak 100 peratus
ke atas pendapatan berkanun untuk
tempoh 10 tahun.
Mempergiat Pelaburan Modal
Teroka oleh Pelabur Individu
75. Merujuk usahawan muda
tempatan, sememangnya didapati
mereka mempunyai idea dan
produk inovatif yang boleh
diketengahkan ke peringkat
antarabangsa namun berhadapan
sumber pembiayaan terhad. Oleh
itu, sebagai sumber pembiayaan
alternatif, penglibatan secara
langsung pelabur pemangkin atau
angel investors di peringkat awal
perniagaan adalah amat penting
bagi merealisasikan pelaburan dan
daya saing syarikat teroka.
Sehubungan itu, Kerajaan
mencadangkan potongan cukai
bersamaan jumlah pelaburan oleh
pelabur pemangkin dalam syarikat
teroka dibenarkan ditolak daripada
semua jenis pendapatannya.
Menyemarak Inovasi Inklusif
Tuan Yang di-Pertua,
76. Bagi memastikan pembangunan
inklusif, Kerajaan akan terus
merancang dan melaksanakan
program serta aktiviti
berintensifkan pengetahuan,
kreativiti dan inovasi. Menuju ke
tahun 2020, menjadi sebuah negara
maju berpendapatan tinggi, inovasi
akan terus diperkukuh dan
diarusperdanakan dalam semua
sektor dan segenap lapisan
masyarakat. Melalui Bajet 2013,
inisiatif ini akan diambil oleh
Kementerian Sains, Teknologi dan
Inovasi dengan kerjasama agensi
Agensi Inovasi Malaysia dan
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Pembangunan Teknologi Hijau
77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah
mewujudkan Skim Pembiayaan
Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana
berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk
tempoh 3 tahun, yang akan berakhir
pada 31 Disember 2012. Dana ini
membolehkan syarikat pengeluar
dan syarikat pengguna teknologi
hijau membuat pinjaman mudah
dengan Kerajaan menanggung
subsidi 2 peratus daripada jumlah
kadar faedah dan jaminan Kerajaan
60 peratus. Sehingga kini, hampir
800 juta ringgit telah diluluskan
kepada 50 syarikat tempatan. Bagi
merancakkan lagi pengeluaran dan
penggunaan produk berasaskan
teknologi hijau, dana skim ini akan
ditambah sebanyak 2 bilion ringgit
dan tempoh permohonan skim SPTH
ini dilanjutkan untuk tempoh 3
tahun lagi iaitu sehingga 31
Disember 2015.
FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI
FISKAL DAN MEMPERCEKAP
PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
AWAM
Tuan Yang di-Pertua,
78. Sesungguhnya, Kerajaan komited
dalam memastikan defisit fiskal
terus berkurangan dan negara
berada pada landasan yang betul
bagi mencapai bajet berimbang.
Dalam hal ini, semua kementerian
dan agensi perlu memastikan
peruntukan mengurus dan
pembangunan dibelanjakan bagi
perkara yang benar-benar perlu dan
penting dalam menyokong
pelaksanaan dasar dan program
negara.
79. Kerajaan akan memastikan
hutang Kerajaan Persekutuan tidak
melebihi paras 55 peratus kepada
KDNK dan defisit fiskal terus
berkurangan kepada 3 peratus
menjelang 2015. Antara langkah
yang akan dan telah diambil
termasuk memastikan kutipan hasil
ditingkatkan dengan mengukuhkan
sistem percukaian dan memastikan
semua perolehan dan pembelian
Kerajaan adalah berdasarkan prinsip
value for money.
80. Selain daripada peralihan sistem
subsidi pukal kepada subsidi
bersasar, kajian semula sistem
percukaian kebangsaan akan
diteruskan bagi memastikan sistem
cukai negara akan lebih
menggambarkan kedudukan
kewangan setiap isi rumah.
Peralihan daripada sistem cukai
berasaskan pendapatan kepada
sistem cukai yang lebih menyeluruh
serta saksama akan pada analisa
akhirnya memanfaatkan semua
rakyat Malaysia.
81. Langkah ini tidak dilaksanakan
secara tergesa-gesa mahupun
semberono tetapi setelah kajian
teliti dan pelaksanaan penuh tertib.
Ia tidak akan mengesankan rakyat
terbanyak khususnya golongan
berpendapatan rendah serta
sederhana kerana perkara-perkara
asas sama ada makanan, perumahan
mahupun pengangkutan awam akan
terus dilindungi.
82. Pelaksanaan struktur baru cukai
ini sudah menjadi sebagai satu
imperatif nasional bagi memastikan
kelestarian sistem kewangan negara
terus utuh untuk generasi masa
depan Malaysia. Kerajaan tidak
akan mengelak dari mengambil
tindakan yang betul walaupun ianya
penuh liku.
83. Walau bagaimanapun, ruang
masa yang mencukupi akan tetap
disediakan oleh Kerajaan agar
semua pihak dapat membuat
persiapan yang sewajarnya.
Penerimaan rakyat ke atas inisiatif
baru ini akan diperoleh dengan
program penerangan, pendidikan
serta rundingan secara ekstensif.
Tuan Yang di-Pertua,
84. Dalam memberi perkhidmatan
terbaik, penjawat awam mesti
menerapkan budaya produktiviti,
kreativiti dan inovasi. Amalan kerja
pula mestilah cepat, tepat dan
berintegriti. Langkah ini akan
mencetuskan paradigma baru dan
seterusnya meningkatkan keyakinan
rakyat terhadap prestasi
perkhidmatan awam lebih efisien
dan efektif serta lebih responsif.
85. Kerajaan tidak lupa akan jasa
pesara yang pernah mencurahkan
khidmat bakti dalam memberi
perkhidmatan terbaik kepada
negara. Sehubungan itu, Kerajaan
akan menyelaras semula pencen
pesara Kerajaan yang telah
berkhidmat sekurang-kurangnya 25
tahun dengan menaikkan pencen
minimum daripada 720 ringgit
kepada 820 ringgit. Pelarasan
pencen ini akan mengambil kira
bayaran pencen bermula 1 Januari
2012. Langkah ini melibatkan
seramai 50,371 pesara, termasuk
penerima pencen terbitan, dengan
peruntukan tambahan sebanyak 60
juta ringgit setahun.
86. Sebagai pengiktirafan kepada
golongan warga emas, Kerajaan
mencadangkan caj bayaran
pemprosesan pasport dikurangkan
sebanyak 50 peratus iaitu daripada
300 ringgit kepada 150 ringgit untuk
tempoh sah laku 5 tahun. Manakala,
bagi caj bayaran pengurusan
pasport untuk tempoh dua tahun
dikurangkan kepada 80 ringgit.
Pengurangan caj bayaran pasport ini
juga diperluaskan kepada kanak-
kanak yang berumur 12 tahun ke
bawah. Kadar bayaran baru ini akan
berkuat kuasa pada Januari 2013.
Penambahbaikan Skim
Perkhidmatan Angkatan Tentera
Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
87. Bagi memastikan Angkatan
Tentera Malaysia mempunyai modal
insan berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi, serta
merealisasikan visi dan hala tuju
strategik ATM sesuai dengan
keperluan semasa, Kerajaan
bersetuju untuk menambah baik
skim perkhidmatan ATM.
Sehubungan itu, syarat lantikan bagi
skim perkhidmatan ATM telah
ditambah baik dengan kelayakan
masuk bagi pegawai ditingkatkan
kepada Ijazah Sarjana Muda
Kepujian dan bagi askar laskar
kelayakan masuk minimum
ditingkatkan ke peringkat SPM dan
Diploma berdasarkan skop tugas.
88. Mengambil kira keunikan
perkhidmatan ATM, Kerajaan
bersetuju untuk meningkatkan
peluang kenaikan pangkat anggota
ATM melalui kaedah kenaikan
secara time-based anggota
berpangkat prebet ke Lans Koperal
dan Lans Koperal ke Koperal dalam
tempoh 8 tahun dengan memenuhi
syarat-syarat serta prestasi yang
memuaskan. Ini adalah bagi
meningkatkan peluang kemajuan
kerjaya serta motivasi anggota
ATM. Usaha ini akan memberi
faedah kepada seramai 78,123
anggota dan melibatkan peruntukan
sebanyak 107 juta ringgit.
89. Di samping itu, Kerajaan juga
bersetuju memberikan bayaran
insentif khas dengan kadar 200
ringgit sebulan kepada semua
pegawai dan anggota ATM seramai
125,708 orang berkuat kuasa 1
Januari 2013. Langkah ini akan
melibatkan implikasi kewangan
sebanyak 301 juta ringgit.
90. Kerajaan menghargai peranan
pasukan simpanan angkatan tentera
sebagai pelengkap dan sokongan
kepada angkatan tetap ATM. Bagi
menghargai sumbangan mereka,
Kerajaan bersetuju untuk
menyelaras elaun khidmat bertugas
daripada 4 ringgit sejam bagi
anggota biasa kepada 6 ringgit
sejam dan bagi pegawai, RM5.80
sejam kepada RM7.80 sejam
melibatkan 65 ribu anggota
simpanan angkatan tentera
merangkumi Askar Wataniah serta
Pasukan Simpanan Sukarela Tentera
Laut dan Udara di seluruh negara.
Kadar baru ini telah pun
dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM
dan PVR sebelum ini.
91. Kerajaan juga tidak lupa jasa
bakti pahlawan negara. Untuk
membantu bekas tentera yang
bersara awal kerana berkhidmat
kurang daripada 21 tahun serta
tidak berpencen, Kerajaan bersetuju
untuk memberi sumbangan
sebanyak 1 ribu ringgit secara one-
off kepada mereka. Peruntukan
sebanyak 224 juta ringgit yang
melibatkan 224 ribu bekas tentera
ini akan dikongsi bersama oleh
Kerajaan dan Lembaga Tabung
Angkatan Tentera.
92. Kerajaan juga akan
memperkenalkan Skim
Perlindungan Insurans
Berkelompok kepada anggota
tentera dan polis yang sedang
berkhidmat dengan peruntukan 12
juta ringgit. Skim ini akan memberi
had perlindungan maksimum
sehingga 15 ribu ringgit kepada
hampir 242 ribu anggota tentera dan
polis.
Tuan Yang di-Pertua,
93. Pada masa ini, Kerajaan
meminjam sebanyak 6 bilion ringgit
setahun untuk membiayai keperluan
pinjaman perumahan penjawat
awam yang diuruskan oleh Bahagian
Pinjaman Perumahan, Kementerian
Kewangan. Sebagai sebahagian
daripada usaha konsolidasi fiskal
dan mengurangkan beban
tanggungan kewangan Kerajaan, BPP
akan disusun semula di mana
Kerajaan akan melantik panel bank
komersial untuk menguruskan
pinjaman perumahan Kerajaan yang
baru berkuat kuasa Januari 2013.
Segala manfaat dan bantuan sedia
ada yang dinikmati oleh penjawat
awam akan tetap dikekalkan malah
ditambah baik. Penjawat awam
masih tetap membayar 4 peratus
kadar faedah ke atas pinjaman
perumahan.
94. Selain itu, pada masa ini, wang
proses yang dikenakan bagi setiap
permohonan pinjaman perumahan
penjawat awam adalah sebanyak 1
ringgit bagi setiap 1,000 ringgit
pinjaman yang dipohon bagi
pinjaman kali pertama dan 2 ringgit
bagi pinjaman kali kedua. Bagi
mengurangkan beban kewangan dan
memudahkan proses kelulusan
pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk
menetapkan wang proses ini pada
kadar 100 ringgit bagi setiap
permohonan tanpa mengambil kira
jumlah pinjaman yang dipohon.
95. Kerajaan turut memberi
perhatian untuk meringankan beban
kos sara hidup bagi pelatih-pelatih
yang mengikuti kursus pra
perkhidmatan di peringkat ijazah,
diploma dan sijil. Dengan ini,
Kerajaan bersetuju menaikkan
kadar elaun pra perkhidmatan yang
melibatkan 31,135 pelatih. Skim
perkhidmatan yang terlibat adalah
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah, Penolong Pegawai
Kesihatan Persekitaran, Penolong
Pegawai Perubatan, Penolong
Pegawai Farmasi, Juru X-Ray,
Jururawat, Jururawat Pergigian,
Jurupulih Perubatan, Juruteknologi
Makmal Perubatan, Juruteknologi
Pergigian, Jururawat Masyarakat,
Pembantu Kesihatan Awam dan
Pembantu Pembedahan Pergigian.
Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit
akan disediakan.
FOKUS KELIMA:
MENSEJAHTERAKAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
96. Kerajaan juga akan menyediakan
6 bilion ringgit pada tahun 2013 di
bawah Insentif Pembiayaan Swasta
yakni PFI 2 untuk melaksanakan
pelbagai projek dan program untuk
memastikan kesejahteraan rakyat
dan memacu pertumbuhan ekonomi
negara. Antara projek yang telah
dikenal pasti termasuk membaik
pulih dan menyelenggara sekolah
serta klinik kesihatan, projek
perumahan, projek tangki air,
rancangan tebatan banjir dan
penyediaan kemudahan sukan.
Mewujud Kejiranan Yang Selamat
dan Harmoni
Tuan Yang di-Pertua,
97. Kerajaan telah memperkenalkan
langkah mengurangkan kadar
jenayah sebagai salah satu inisiatif
di bawah NKRA. Usaha
mengurangkan kadar jenayah akan
terus dipertingkatkan. Untuk tujuan
ini, peruntukan sejumlah 591 juta
ringgit akan disediakan bagi tahun
2013 untuk melaksanakan langkah-
langkah berikut:
Pertama : Menambah bilangan
perjawatan baru Polis DiRaja
Malaysia pada 2013 untuk
melaksanakan tugas-tugas rondaan
dan pencegahan jenayah serta
menaik taraf infrastruktur dan
menyediakan peralatan moden;
Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan
Bermotosikal memantau kawasan
perumahan. Untuk ini, Kerajaan
akan menyediakan 1,000 buah
motosikal dengan peruntukan
sebanyak 20 juta ringgit;
Ketiga: Menambah bilangan ahli
Pasukan Sukarelawan Polis seramai
10,000 orang dengan peruntukan 70
juta ringgit bagi membantu polis
membanteras jenayah; dan
Keempat : Menambah pemasangan
Sistem Kamera Litar Tertutup atau
CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah
Pihak Berkuasa Tempatan di
Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
98. Kerajaan sedar akan tugas dan
tanggungjawab berat pegawai dan
anggota Polis DiRaja Malaysia.
Kepada warga PDRM saya
mendengar rintahan saudari dan
saudari sekelian tentang beberapa
anomali yang wujud terutamanya
dalam perjawatan untuk para
pegawai. Kerajaan mendengar dan
mengambil maklum kita tidak
sekali-kali mengambil mudah
tentang soal ini. Kerajaan telahpun
mengarahkan pihak Jabatan
Perkhidmatan Awam agar kajian
komprehensif dilakukan untuk
menambahbaik laluan kerjaya
warga PDRM. kajian dan segala
cadangan yang dibuat hendaklah
merundingi semua “stakeholder”
dan hendaklah diselesaikan dalam
masa secepat mungkin.
99. Kerajaan komited memastikan
setiap rakyat yang dituduh di
mahkamah mempunyai pembelaan
sesuai dengan hak mereka yang
dijamin oleh Perlembagaan dan
telah memberi geran pelancaran
sebanyak 14 juta ringgit kepada
Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan. Kerajaan dengan ini
menambah 20 juta ringgit lagi
peruntukan untuk tahun 2013.
Tuan Yang di-Pertua,
100. Penglibatan swasta dan
komuniti setempat secara
menyeluruh bersama Kerajaan
adalah penting bagi memastikan
Malaysia menjadi sebuah negara
yang selamat. Sehubungan itu,
Kerajaan akan melaksanakan
inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama : Menyokong peranan
persatuan penduduk bagi tujuan
menggalakkan aktiviti rondaan di
kawasan kejiranan. Untuk ini,
Kerajaan bercadang memberi geran
berjumlah 10,000 ringgit kepada
4,025 persatuan penduduk yang
berdaftar dengan Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,
dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;
Kedua : Mempertingkatkan peranan
rukun tetangga dalam membantu
menjaga keselamatan kawasan
perumahan. Untuk ini, Kerajaan
mensasarkan 6,500 penubuhan
kawasan rukun tetangga menjelang
tahun 2013. Kerajaan akan
memperuntukkan 39 juta ringgit
bagi membiayai aktiviti KRT;
Ketiga : Menyediakan sepasang
pakaian seragam untuk 300,00
anggota RELA yang aktif dengan
peruntukan sebanyak 90 juta ringgit;
dan
Keempat : Tolakan sepenuhnya
perbelanjaan pemasangan alat
kawalan keselamatan bagi syarikat-
syarikat dalam tahun yang sama ia
dibelanjakan, berbanding dengan
tolakan semasa iaitu 8 tahun, di
bawah galakan Elaun Modal
Dipercepatkan. Kerajaan juga
bersetuju galakan yang menarik ini
turut diberi kepada syarikat pemaju
perumahan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
101. Pastinya, Kerajaan terus
komited untuk membasmi gejala
rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak
276 juta ringgit akan diperuntukkan
kepada SPRM bagi membanteras
rasuah. Untuk ini, Kerajaan
bersetuju menambah sebanyak 150
perjawatan tambahan setiap tahun
sehingga mencapai 5,000 anggota.
Langkah ini diharap akan dapat
menyokong usaha Kerajaan
memperbaiki kedudukan negara
dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Memacu Transformasi Komuniti
Tuan Yang di-Pertua,
102. Kerajaan telah melancarkan
Program Transformasi Luar Bandar
atau RTP bagi mengukuhkan
pembangunan kawasan luar bandar.
Untuk komuniti di bandar pula,
sukacita saya mengumumkan
Program Transformasi Bandar atau
UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan
disediakan bagi maksud ini. Bagi
memastikan penyelarasan strategik
di antara RTP dan UTP, National
Strategic Coordination Unit akan
diwujudkan di bawah Kementerian
Kewangan.
103. Urban Transformation Program
adalah inisiatif Kerajaan dalam
pembangunan komuniti bandar bagi
memastikan kesinambungan
perkhidmatan Kerajaan dan swasta
yang efisien, cepat dan mudah
diakses. UTC dilaksanakan dengan
mengubahsuai bangunan Kerajaan
sedia ada yang kosong atau
mengoptimumkan penggunaan
bangunan dengan kos yang
minimum. Sebagai contoh, di UTC,
rakyat boleh membuat pasport
dalam tempoh satu jam sahaja,
membayar zakat, bil utiliti, cukai
pintu, membeli kain dan buku serta
menjalankan aktiviti riadah seperti
futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia
beroperasi bermula dari 8.30 pagi
hingga 10 malam, 7 hari seminggu.
104. Di bawah UTP, Kerajaan telah
melancarkan 2 Pusat Transformasi
Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan
Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL
telah menerima purata seramai
4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC
akan diperhebatkan dan
dilaksanakan secara berperingkat di
6 bandar utama, iaitu Alor Setar,
Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota
Kinabalu dan Kuching.
Program Transformasi Luar
Bandar
105. Di luar bandar, Kerajaan telah
membuka pula Pusat Transformasi
Luar Bandar atau RTC di Gopeng,
Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan
bagi menyediakan sebuah pusat
integrasi perkhidmatan meliputi
pengumpulan, pemprosesan dan
pengedaran hasil pengeluaran
pertanian, perbankan dan insurans,
khidmat nasihat perniagaan, latihan
dan kemahiran, klinik serta ruang
niaga. Berdasarkan manfaat yang
diterima, Kerajaan akan terus
memperluaskan RTC ke Melaka,
Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Kerajaan juga akan
menaik taraf Medan Info Desa
seluruh negara sebagai Mini-RTC.
Pembangunan Luar Bandar dan
Masyarakat Orang Asli
106. Kawasan luar bandar akan
terus dibangunkan bagi
mengurangkan jurang pembangunan
bandar dan luar bandar. 4.5 bilion
ringgit akan disediakan bagi
melaksanakan pelbagai projek
pembangunan pada tahun 2013
termasuk:
Pertama : Sebanyak 1.2 bilion
ringgit disediakan untuk
melaksanakan 441 kilometer projek
jalan luar bandar dan jalan
perhubungan desa yang
memanfaatkan 220 ribu penduduk;
Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit
diperuntukkan untuk projek
infrastruktur utiliti luar bandar bagi
projek bekalan air kepada 24 ribu
buah rumah dan projek
penyambungan bekalan elektrik
kepada 19 ribu buah rumah;
Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit
diperuntukkan bagi membiayai
Program Desa Lestari melibatkan 29
buah kampung di seluruh negara
dan memanfaatkan 38 ribu
penduduk. Program utama
termasuk menaik taraf kilang
pemprosesan hasil laut dan
makanan, pembinaan jeti baru,
pembinaan pusat pemasaran serta
menambah baik pakej dan aktiviti
homestay serta rekreasi;
Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit
diperuntukkan bagi melaksanakan
program pembangunan ekonomi
dan projek bekalan air bagi
masyarakat Orang Asli; dan
Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit
bagi membekal 40 ribu tangki air
menggunakan kaedah tadahan air
hujan khususnya di kawasan
pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Kesihatan Asas Kesejahteraan
Tuan Yang di-Pertua,
107. Kerajaan akan terus
memastikan rakyat dapat
menikmati perkhidmatan kesihatan
yang memuaskan. Bagi tahun 2013,
Kerajaan memperuntukkan
sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk
perkhidmatan mengurus dan
pembangunan.
108. Pembukaan Klinik 1Malaysia
telah mendapat sambutan baik dan
memberi manfaat dalam
meringankan kos rawatan selain
memudahkan akses bagi
mendapatkan rawatan. Justeru,
Kerajaan akan memperuntukkan 20
juta ringgit bagi membuka
tambahan 70 klinik pada tahun
2013. Klinik 1Malaysia juga akan
mula menyediakan perkhidmatan
ujian kolesterol dan glukosa serta
ujian urin kepada mereka yang
memerlukan. Selain itu, sebanyak
100 juta ringgit akan diperuntukkan
untuk membaik pulih 350 klinik di
seluruh negara, di samping
menambah 150 buah mesin dialisis
di pusat hemodialisis Kerajaan
seluruh negara.
Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat
Tuan Yang di-Pertua,
109. Memang benar, wanita bukan
sahaja penting dalam pembentukan
keluarga bahagia malah turut
menyumbang kepada pembangunan
ekonomi negara. Untuk itu,
Kerajaan memperuntukkan 50 juta
ringgit bagi menyokong dwi
peranan wanita ini dengan
melaksanakan langkah-langkah
berikut:
Pertama : Seramai 500 wanita akan
dilatih di bawah Program Pengarah
Wanita untuk diketengahkan
sebagai ahli lembaga pengarah
syarikat;
Kedua : Program Inkubator
Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT)
akan dipertingkatkan untuk
memberi khidmat nasihat dan
latihan kepada ibu tunggal dalam
bidang keusahawanan; dan
Ketiga : Program Get Malaysian
Business Online (GMBO) bagi
membantu 50 ribu usahawan kecil,
terutamanya wanita melonjakkan
perniagaan dengan meningkatkan
jualan secara atas talian dengan
geran seribu ringgit melalui
peruntukan 50 juta ringgit oleh
SKMM.
Keempat : Peruntukan sebanyak 25
juta ringgit untuk kemudahan
pemeriksaan percuma ujian
Mamogram. Langkah ini dijangka
dapat memanfaatkan seramai 100
ribu wanita berumur 40 tahun dan
ke atas.
110. Sesungguhnya Kerajaan amat
menitikberatkan golongan yang
kurang bernasib baik dan
berpendapatan rendah dalam
memastikan mereka ini tidak
ketinggalan dalam arus
pembangunan negara. Justeru,
program Kebajikan Rakyat
1Malaysia atau KAR1SMA di bawah
Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat akan
diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion
ringgit meliputi program bantuan
warga emas, bantuan kanak-kanak,
elaun pekerja orang kurang upaya
serta bantuan penyakit kronik.
111. Kerajaan telah melancarkan
program 1AZAM atau Akhiri Zaman
Miskin yang bertujuan menyediakan
peluang menjana pendapatan
kepada golongan berpendapatan
rendah. Antara program di bawah
inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam
Tani, Azam Niaga dan Azam
Khidmat. Untuk ini, Kerajaan
memperuntukkan sejumlah 400 juta
ringgit yang dijangka dapat
memanfaatkan sebanyak 58,330
peserta.
112. Selain itu, Kerajaan telah
menyediakan 2 pusat Anjung
Singgah bertujuan untuk
menempatkan warga emas, kanak-
kanak jalanan dan mereka yang
memerlukan tempat tinggal
sementara sebelum mereka
mendapat pekerjaan atau
kemudahan tempat tinggal yang
tetap. Seterusnya, Kerajaan
menambah lagi 6 pusat Anjung
Singgah. Kerajaan juga akan
mewujudkan 5 Anjung Kasih di
Hospital Sibu, Miri, Temerloh,
Seremban dan Ipoh bagi
menyediakan tempat penginapan
sementara dan selesa kepada
pesakit miskin atau ahli keluarga
yang mengiringi pesakit yang sedang
menerima rawatan di hospital
Kerajaan.
Belia dan Sukan
Tuan Yang di-Pertua,
113. Sukan adalah pemangkin
perpaduan nasional yang terbaik
kerana melibatkan semua golongan
masyarakat. Nama-nama seperti Lee
Chong Wei, Nicol Anne David,
Pandelela Rinong, Azizulhasni
Awang dan Muhamad Ziyad adalah
antara hero dan heroin sukan yang
dikagumi. Kejayaan dan pencapaian
mereka di peringkat antarabangsa
cukup membanggakan. Kerajaan
sentiasa memberi penekanan dalam
memastikan pembangunan sukan
dilaksanakan secara berterusan.
Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak
738 juta ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan belia dan sukan.
114. Kerajaan akan
memperuntukkan 15 juta ringgit
bagi mempersiapkan para atlet ke
kejohanan sukan antarabangsa
termasuk Sukan SEA 2013, Sukan
Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel
serta Sukan Asia tahun 2014.
Sebagai tambahan juga, 50 juta
ringgit lagi diperuntukkan untuk
tempoh 4 tahun khusus bagi
persiapan Sukan Olimpik Rio 2016
di bawah program Road to Rio.
115. Bagi menggalakkan
perkembangan sukan lumba basikal
dan badminton, Kerajaan akan
membina sebuah velodrom tertutup
di Seremban dan Akademi
Badminton di Bukit Kiara dengan
peruntukan sebanyak 80 juta
ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
116. Dalam usaha melahirkan
generasi belia yang berpersonaliti
tinggi, berintegriti, kreatif dan
berinovasi serta berdaya saing,
Kerajaan melancarkan program Y-
Creative yang melibatkan persatuan
belia di seluruh negara. Kerajaan
juga akan menganjurkan Festival
Belia Putrajaya yang merupakan
perhimpunan belia terbesar negara
bersempena dengan perisytiharan
tahun 2013 sebagai tahun
kesukarelaan nasional.
117. Bagi membantu usahawan
muda dalam bidang ICT, sebuah
yayasan dengan nama New
Enterpreneur Foundation akan
ditubuhkan dengan peruntukan
permulaan sebanyak 50 juta ringgit.
NEF akan menjadi platform bagi
program latihan dan bimbingan.
118. Selain itu, Young Entrepreneur
Fund juga diwujudkan dengan
peruntukan sebanyak 50 juta ringgit
akan disediakan oleh SME Bank.
Dana pinjaman mudah ini adalah
untuk belia berumur 30 tahun ke
bawah dengan subsidi kadar faedah
pinjaman sebanyak 2 peratus dan
had maksimum pinjaman sebanyak
100 ribu ringgit serta tempoh
bayaran balik selama 7 tahun.
119. Kerajaan mengiktiraf peranan
belia dalam mengaspirasikan
pembangunan negara. Untuk itu,
Kerajaan akan melancarkan
Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia
For Youth atau 1M4U untuk mereka
mempersembahkan idea-idea
kreatif dan inovatif menerusi
pertandingan di peringkat tempatan,
negeri dan kebangsaan. 3 idea
terbaik akan diberikan peruntukan
daripada Dana Sukarelawan
1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
120. Sebahagian besar daripada 22
peratus rakyat Malaysia yang
menggunakan telefon pintar untuk
melayari internet adalah golongan
belia. Oleh itu, bagi membuka akses
golongan muda kepada lebuhraya
maklumat, satu pakej khas akan
diperkenalkan oleh kerajaan melalui
kerjasama antara Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia
Malaysia serta syarikat
telekomunikasi. Melalui Pakej
Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit
akan diberi secara one-off bagi
pembelian satu unit telefon mudah
alih pintar 3G melalui pengedar-
pengedar rasmi. Ia terbuka kepada
belia yang berumur 21 hingga 30
tahun berpendapatan bulanan 3,000
ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300
juta ringgit telah disediakan dan
akan memanfaatkan 1.5 juta belia.
Mengiktiraf Karyawan dan
Seniman
Tuan Yang di-Pertua,
121. Menjengah peranan karyawan,
budayawan dan seniman dalam
proses pembangunan negara, kita
maklum bahawa kemajuan Malaysia
tidak diukur semata-mata pada
pendapatan perkapita dan
pertumbuhan ekonomi. Ia turut
diukur menggunakan pelbagai
dimensi. Para karyawan memainkan
peranan penting dalam
meningkatkan peradaban nasional.
Sebagai menghargai peranan
mereka ini, Kerajaan bersetuju
memperuntukkan sejumlah 6 juta
ringgit sebagai bantuan pentadbiran
dan kegiatan kepada semua
persatuan yang berdaftar.
Memperluas Jaringan
Pengangkutan Awam Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
122. Bercakap pula ehwal
perkhidmatan pengangkutan awam
yang baik, ia adalah nadi kepada
pembangunan sesebuah komuniti.
Lanjutan daripada kejayaan
pengenalan RapidKL dan
RapidPenang, Kerajaan akan
melancarkan RapidKuantan mulai 1
Disember 2012 bagi menyediakan
perkhidmatan pengangkutan bas
berkualiti di Kuantan yang dapat
memanfaatkan rakyat teramai.
Syarikat Prasarana juga dalam
proses untuk memperluaskan
perkhidmatan ini di bandar lain
seperti Ipoh, Seremban, Kuching
dan Kota Kinabalu.
123. Kerajaan memandang serius
kepentingan pengangkutan bagi
orang ramai terutamanya mereka
yang tinggal dan bekerja di bandar
besar. Pada masa ini, golongan OKU,
pesara dan pelajar telah menikmati
diskaun 50 peratus kadar tambang
apabila menggunakan perkhidmatan
komuter KTMB. Sebagai lanjutan,
suka saya mengumumkan, bahawa
Kerajaan bersetuju untuk
memperluaskan diskaun 50 peratus
kadar tambang ini, kepada semua
warganegara Malaysia yang
berpendapatan 3,000 ringgit dan ke
bawah.
Perumahan untuk Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
124. Kerajaan sedar, perumahan
selesa dan mampu milik adalah
keperluan asas paling utama kepada
rakyat. Kerajaan komited untuk
memastikan setiap rakyat Malaysia
berpeluang untuk memiliki rumah
mereka sendiri. Ini bukan sahaja
satu imperatif yang bersifat
ekonomi, malahan ia adalah
imperatif moral bagi sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab.
Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan
hasrat ini sebagai prioriti
berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja,
suka saya umumkan, Kerajaan akan
memperuntukkan 1.9 bilion ringgit
bagi membina 123 ribu unit rumah
dengan harga berpatutan di
kawasan-kawasan strategik. Inisiatif
ini akan dilaksanakan oleh PR1MA,
Syarikat Perumahan Nasional
Berhad dan Jabatan Perumahan
Negara.
125. Sebanyak 500 juta ringgit akan
dibelanjakan oleh PR1MA untuk
membina 50 ribu unit rumah di
bandar-bandar utama di seluruh
negara dengan harga jualan antara
100 hingga 400 ribu ringgit seunit.
Antara bandar-bandar utama
tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah
Alam, Johor Bharu, Seremban dan
Kuantan.
126. Di samping itu, PR1MA juga
akan menyediakan Dana Pemudah
Cara Perumahan berjumlah 500 juta
ringgit untuk membina 30 ribu unit
rumah secara usaha sama dengan
pemaju perumahan swasta. Harga
rumah yang ditawarkan di bawah
program ini adalah 20 peratus lebih
rendah berbanding dengan harga di
pasaran dan proses pengagihan
rumah akan dilaksanakan secara
sistem pengundian terbuka.
127. Manakala sebanyak 320 juta
ringgit diperuntukkan melalui SPNB
untuk membina sebanyak 22,855
unit kediaman termasuk apartmen
kos rendah dan sederhana, rumah
mesra rakyat serta rumah mampu
milik. Projek perumahan SPNB yang
akan dilaksanakan segera termasuk
membina sebanyak 1,855 unit
apartmen kos sederhana dengan
keluasan 850 kaki persegi di Shah
Alam dan Sungai Buloh. Unit
kediaman ini akan dijual pada harga
sekitar 120 ribu hingga 220 ribu
ringgit seunit.
128. Bagi program Rumah Mesra
Rakyat pula, SPNB akan membina
sebanyak 21,000 unit rumah untuk
tahun 2013. Di bawah program ini,
SPNB akan membina rumah
berharga 65 ribu ringgit dengan
subsidi sebanyak 20 ribu ringgit
serta subsidi kadar faedah ke atas
pinjaman sebanyak 2 peratus.
129. Selain itu, peruntukan sejumlah
543 juta ringgit akan disediakan bagi
Jabatan Perumahan Negara
melaksanakan 45 projek di bawah
Program Perumahan Rakyat
melibatkan 20,454 unit rumah yang
akan dibina menggunakan kaedah
Industrialised Building System.
Kesemua unit kediaman ini akan
dijual antara 30 hingga 40 ribu
ringgit seunit berbanding harga
pasaran sekitar 120 ribu ringgit
seunit. 20 peratus daripada
keseluruhan unit rumah PPR kepada
penjawat awam dan sebahagian
kepada golongan OKU.
130. Bagi membolehkan lebih ramai
rakyat Malaysia memiliki rumah
yang pertama, Skim Rumah
Pertamaku yang telah dilancarkan
melalui bajet yang lalu, akan
ditambah baik dengan
meningkatkan had pendapatan
peminjam perseorangan daripada
3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit
sebulan atau 10,000 ringgit sebulan
bagi pinjaman bersama suami isteri.
Di samping itu, syarat keperluan
simpanan 3 bulan deposit serta
tempoh minimum bekerja 6 bulan
juga akan dimansuhkan.
Tuan Yang di-Pertua,
131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan
telah pun memberi pengecualian
duti setem 50 peratus ke atas surat
cara perjanjian pindah milik dan
pinjaman sebuah rumah kediaman
pertama yang berharga sehingga 350
ribu ringgit. Kerajaan bercadang
melanjutkan pengecualian duti
setem sedia ada sehingga 31
Disember 2014 dengan had
kelayakan harga rumah dinaikkan
sehingga 400 ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Keuntungan
Hartanah
132. Menyangkut hal penawaran
hartanah yang terhad terutamanya
di kawasan bandar, ia membuka
ruang kepada aktiviti spekulasi.
Dengan itu, Kerajaan mencadangkan
cukai keuntungan harta tanah
(CKHT) ke atas keuntungan
pelupusan hartanah yang dibuat
dalam tempoh tidak melebihi dua
tahun dari tarikh perolehan
hartanah berkenaan, dikenakan
pada kadar 15 peratus dan 10
peratus bagi pelupusan hartanah
dalam tempoh 2 hingga 5 tahun.
Bagi hartanah yang dilupuskan
selepas tempoh 5 tahun daripada
tarikh perolehannya, CKHT tidak
dikenakan. Sementelahan itu,
keuntungan daripada pelupusan
sebuah rumah kediaman sekali
dalam seumur hidup dan pelupusan
hartanah atas dasar kasih sayang
antara suami dan isteri, ibu bapa
dan anak, datuk atau nenek dan
cucu dikecualikan daripada CKHT.
Galakan Cukai untuk Memulih
Projek Perumahan Terbengkalai
133. Selanjutnya, bagi tahun 2013,
Kerajaan memperuntukkan 100 juta
ringgit kepada Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan
yang dijangka dapat memulihkan 30
projek rumah terbengkalai. Sebagai
tambahan untuk menggalakkan
penyertaan sektor swasta, Kerajaan
akan menyediakan insentif cukai
seperti berikut:
Pertama: Institusi perbankan diberi
pengecualian cukai ke atas
pendapatan faedah yang diterima
daripada kontraktor penyelamat;
Kedua : Kontraktor penyelamat
diberi potongan cukai 2 kali ke atas
bayaran faedah dan semua kos
langsung dalam mendapatkan
pinjaman;
Ketiga : Kontraktor penyelamat
diberi pengecualian duti setem ke
atas semua jenis surat cara yang
disempurnakan bagi tujuan pindah
milik tanah atau rumah dan surat
cara pinjaman bagi membiayai kos
pemulihan; dan
Keempat : Pembeli asal rumah
terbengkalai diberi pengecualian
duti setem ke atas semua jenis surat
cara yang disempurnakan bagi
tujuan mendapat pembiayaan
tambahan dan pindah milik rumah.
Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M)
134. Sesungguhnya, Kerajaan ini
adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat
untuk rakyat. Kemakmuran negara
dan kesejahteraan rakyat adalah
objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak
akan sekali-kali melakukan
sebarang tindakan yang akan
membahayakan masa depan orang
ramai. Bukan seperti sesetengah
pihak, yang sanggup mengatakan
apa sahaja, ini percuma, itupun
percuma, hutang tak perlu bayar,
hatta menjanjikan syurga semata-
mata untuk berkuasa. Namun, saya
selaku Menteri Kewangan, tidak
akan menyembunyikan kebenaran,
sekalipun ia pahit. Pendek kata,
Kerajaan ini tidak akan mengaburi
mata rakyat.
135. Menyedari hakikat inilah,
Kerajaan sedang melaksanakan
inisiatif rasionalisasi subsidi dan
mengalih secara berperingkat
kaedah pemberian subsidi daripada
subsidi pukal yang membawa
kepada banyak ketirisan dan
sehingga orang yang berada pun
memperoleh, kepada subsidi yang
bersasar. Di bawah prinsip ini,
subsidi akan diteruskan tetapi akan
diberi hanya kepada kelompok yang
betul-betul memerlukannya.
Hakikatnya, jika Kerajaan terus
memberi subsidi secara pukal, ia
akan menghancurkan kedudukan
kewangan negara sehingga akhirnya
rakyat menanggung akibat, seperti
mana yang berlaku di sesetengah
negara di dunia. Sebagai sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab,
kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136. Bersesuaian dengan peralihan
kepada dasar pelaksanaan subsidi
bersasar, Kerajaan komited bagi
memastikan setiap segmen rakyat
Malaysia dapat mengongsi
kemakmuran negara. Ini hanya
akan berlaku, sekiranya ekonomi
nasional terus tumbuh secara
mapan dan kekayaan negara dapat
terus dijana. Sukacita saya
mengumumkan pemberian Bantuan
Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0.
Kriteria penerima tetap sama iaitu
ketua isi rumah yang berpendapatan
3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai
tambahan, sukacita juga saya
mengumumkan pemberian BR1M
2.0 ini diperluaskan kepada individu
bujang berumur 21 tahun dan ke
atas yang berpendapatan tidak
melebihi 2 ribu ringgit sebulan.
Pemberian bantuan kepada individu
bujang ini adalah sebanyak 250
ringgit.
137. Hakikatnya, bantuan kepada isi
rumah dan individu bujang ini
bukanlah satu langkah populis
malah manifestasi sebuah Kerajaan
bertanggungjawab dan mampu
mengurus kewangan negara dengan
berhemah. Ia memanfaatkan 4.3
juta isi rumah dan 2.7 juta individu
bujang melibatkan peruntukan 3
bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai
awal tahun 2013. Bagi memudahkan
pelaksanaan, penerima BR1M sedia
ada tidak lagi perlu mendaftar
untuk kali kedua manakala
pemohon baru boleh mula
mendaftar mulai November 2012
secara atas talian atau melalui
kaunter di Pejabat Pembangunan
Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat
Lembaga Hasil Dalam Negeri
seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua,
138. Gula yang diambil secara
berpatutan adalah baik, namun
sekiranya diambil secara berlebihan
ia mampu menjadi racun. Setakat
ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia
mengidap diabetes. Oleh itu,
Kerajaan bercadang mengurangkan
subsidi gula sebanyak 20 sen
sekilogram mulai 29 September
2012. Kerajaan menyeru kepada
para peniaga bahawa janganlah
membebankan saudara se-Malaysia
dengan kenaikan harga. Sebaliknya
kurangkanlah kandungan gula.
139. Saya ingin menegaskan bahawa
Kerajaan masih lagi menanggung
subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg
yang melibatkan perbelanjaan
sebanyak 278 juta ringgit. Malah
pengurangan subsidi ini disokong
oleh persatuan-persatuan pengguna
dan pengamal kesihatan.
140. Selanjutnya, untuk menampung
perbezaan harga dan kuota
penggunaan minyak masak yang
semakin meningkat, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan sebanyak
1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan
harga minyak masak di pasaran.
Penyeragaman Harga
Tuan Yang di-Pertua,
141. Secara umumnya, harga
barangan keperluan di Sabah dan
Sarawak adalah lebih mahal
berbanding di Semenanjung
Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang
lebih tinggi. Bagi memastikan kos
dan harga barangan dapat
dikurangkan, Kerajaan telah
memperkenalkan pelbagai inisiatif
termasuk Program Penyeragaman
Harga, pemberian subsidi
pengangkutan serta pembukaan
Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini,
Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 386 juta ringgit bagi
memastikan harga barangan
keperluan di Sabah dan Sarawak
serta Labuan dijual pada harga yang
lebih rendah dan lebih seragam
dengan membuka sebanyak 57 buah
KR1M dan menanggung kos
penghantaran produk dari
Semenanjung Malaysia ke Sabah,
Sarawak serta Labuan termasuk
penghantaran ke kawasan
pedalaman. Sebagai contoh di
Ba’kalalan, Sarawak, harga gas
memasak 14 kg setong dijual pada
harga RM70. Dengan program
penyeragaman harga, gas memasak
tersebut boleh dibeli hanya dengan
RM26.60 setong.
142. Sebagai tambahan, bagi
meringankan beban rakyat yang
berulang alik menggunakan
perkhidmatan feri dari Labuan ke
Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan
memberi diskaun tambang kepada
semua penumpang sebanyak 50
peratus. Di samping itu, diskaun
sebanyak 50 peratus turut diberi ke
atas tambang feri untuk kenderaan
komersial yang mengangkut barang
keperluan asas dan binaan ke
Labuan.
Mempermudah Ibadah Haji
143. Sekali lagi kita memasuki
musim panggilan Haji menuju
Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya
telah mengumumkan pencarum
KWSP boleh membuat pendaftaran
awal menunaikan rukun ke 5 ini
melalui penghadangan Akaun 2
sebanyak 1,300 ringgit.
Alhamdulillah, setakat ini, seramai
51,528 pencarum telah
menggunakan inisiatif ini. Sebagai
langkah tambahan untuk membantu
bakal-bakal haji, saya ingin
mengumumkan bahawa bakal-bakal
haji yang mencarum di KWSP, kini
dibenarkan mengeluarkan simpanan
dari Akaun 2 mereka bagi
menampung kekurangan kos
tambang. Inisiatif ini terhad kepada
jemaah muassasah dengan
maksimum pengeluaran sehingga 3
ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Pendapatan
Individu dan Koperasi
144. Kerajaan prihatin ke atas
peningkatan kos sara hidup rakyat
serta tanggungan cukai pendapatan
mereka. Kerajaan telah pun
menyediakan sebanyak 20 jenis
pelepasan cukai individu dan 2 rebat
cukai. Berikutan pelepasan dan
rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang
sahaja yang perlu membayar cukai
berbanding keseluruhan guna
tenaga iaitu seramai 12 juta orang.
145. Dalam proses peralihan
daripada sistem cukai sedia ada
yang berasaskan pendapatan kepada
sistem cukai yang lebih adil dan
saksama, Kerajaan mencadangkan
kadar cukai pendapatan individu
diturunkan 1 mata peratusan bagi
setiap kumpulan pendapatan
bercukai tahunan melebihi 2,500
ringgit sehingga 50 ribu ringgit.
Langkah ini akan mengeluarkan
seramai 170 ribu pembayar cukai
daripada membayar cukai serta
pembayar cukai pendapatan sedia
ada juga menikmati penjimatan
bayaran cukai mereka. Sebagai
contoh, golongan profesional muda
yang belum berkahwin dengan
pendapatan bulanan 5 ribu ringgit,
akan menikmati penjimatan cukai
pendapatan sehingga 425 ringgit
seorang.
146. Pada masa yang sama, bagi
terus memacu transformasi gerakan
koperasi, Kerajaan mencadangkan
kadar cukai pendapatan koperasi
juga dikurangkan antara 1 hingga 7
mata peratusan di semua kumpulan
pendapatan bercukai. Dengan ini,
seramai 7 juta ahli koperasi akan
menikmati manfaat sebagai galakan
untuk meningkatkan keupayaan
keusahawanan dalam bidang
perniagaan.
Meringankan Beban Pengusaha
Bas Sekolah
Tuan Yang di-Pertua,
147. Kerajaan mengambil berat akan
keselamatan anak-anak yang
menaiki bas ke sekolah dan
pemandu-pemandu bas berikutan
kualiti segelintir bas sekolah yang
kurang memuaskan. Keadaan ini
disebabkan pengusaha bas sekolah
tidak dapat menampung beban kos
penyelenggaraan yang semakin
meningkat sedangkan sebahagian
besar bas yang dimiliki telah
melebihi jangka hayat ekonomi.
Untuk itu, Kerajaan mencadangkan
pengusaha bas sekolah diberi
pertamanya, pemberian rebat tunai
10 ribu ringgit dan subsidi kadar
faedah 2 peratus ke atas pinjaman
penuh untuk menggantikan bas
sekolah lama berusia melebihi 25
tahun kepada bas baru yang
berkapasiti 12 hingga 18 tempat
duduk. Skim pinjaman ini diuruskan
oleh BSN ditawarkan untuk tempoh
permohonan 2 tahun bermula 1
Januari 2013.
148. Keduanya, penyediaan Skim
Perlindungan Insurans Kemalangan
Diri, hilang upaya kekal dan
kematian kepada semua murid
sekolah yang menggunakan
perkhidmatan bas sekolah
berpermit. Usaha ini akan
memanfaatkan seramai 2 juta
pelajar dengan perlindungan
maksimum sebanyak 100 ribu
ringgit dan kos premium sebanyak
40 juta ringgit untuk tempoh 2
tahun yang akan diselia oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Darat.
Mengurangkan Kos Pembelajaran
Pelajar
149. Kerajaan amat prihatin
terhadap kebajikan pelajar terutama
mereka yang datang daripada
keluarga berpendapatan rendah.
Kerajaan sentiasa menyediakan
peruntukan khusus kepada pelajar
sekolah rendah dan menengah yang
merangkumi bantuan geran per
kapita, bantuan makanan asrama,
Rancangan Makanan Tambahan,
pembelian buku teks dan bantuan
bayaran tambahan persekolahan.
Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion
ringgit diperuntukkan pada tahun
2013.
150. Pada pembentangan Bajet 2012,
saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada
semua pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bagi meringankan beban
persekolahan keluarga
berpendapatan rendah dan
sederhana, Kerajaan sekali lagi akan
meneruskan pemberian bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada
pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bantuan ini akan dibayar
mulai Januari 2013 dan bermanfaat
kepada 5.4 juta pelajar melibatkan
peruntukan sebanyak 540 juta
ringgit.
151. Kerajaan akan meneruskan
program Baucar Buku 1Malaysia
kepada setiap pelajar IPT dan pra-
universiti. Suka saya
mengumumkan, bahawa nilai
baucar akan ditingkatkan daripada
200 ringgit kepada 250 ringgit.
Langkah ini melibatkan peruntukan
325 juta ringgit dan akan
memanfaatkan seramai 1.3 juta
pelajar di seluruh negara.
152. Kerajaan juga amat prihatin
akan bebanan kos pendidikan tinggi
anak-anak. Bagi membantu
meringankan tanggungan kewangan
ibu bapa, Kerajaan mencadangkan
pelepasan cukai sedia ada bagi
pendidikan tinggi anak-anak
sebanyak 4,000 ringgit seorang
sekarang ini, dinaikkan kepada
6,000 ringgit mulai tahun taksiran
2013. Langkah ini menunjukkan
komitmen dan tumpuan Kerajaan ke
atas pelaburan bagi meningkatkan
tahap pendidikan generasi muda
yang akan memberi manfaat kepada
negara pada masa hadapan.
153. Bagi menggalakkan sikap
menabung untuk pendidikan,
sukacita juga saya mengumumkan di
sini bahawa pelepasan cukai yang
telah pun diberi sehingga 3,000
ringgit bagi Skim Simpanan
Pendidikan Nasional dinaikkan
kepada 6,000 ringgit.
154. Menurut hukum, hutang wajib
dibayar. Pinjaman PTPTN satu
amanah. Ia adalah satu
keistimewaan, bukan satu hak. Jika
hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan
menafikan hak-hak pelajar masa
depan. Oleh itu, bagi memudahkan
proses pembayaran balik, Kerajaan
akan memperkenalkan beberapa
insentif. Pertama, bagi peminjam
yang menyelesaikan hutang sekali
gus dalam tempoh setahun selepas
pengumuman ini, bermula 1
Oktober 2012 hingga 30 September
2013, diskaun 20 peratus akan
diberikan ke atas jumlah pinjaman
mereka.
155. Manakala, bagi mereka yang
membayar pinjaman secara
konsisten mengikut jadual mulai 1
Oktober 2012, diskaun 10 peratus
setahun akan diberikan. Kita tahu
Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang
mencadangkan supaya hutang
keseluruhan hutang PTPTN
dimansuhkan. Ini adalah satu
perbuatan yang amat tidak
bertanggungjawab kerana jika
dimansuhkan, siapa yang akan
menanggung lebih 30 bilion ringgit
hutang PTPTN. Bukankah yang akan
terbeban adalah rakyat Malaysia?
Bertanggungjawabkah jika kita yang
berhutang masyarakat yang
menanggung. Itulah persoalannya.
Program Jalur Lebar untuk
Rakyat Termiskin di Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
156. Kerajaan akan menubuhkan
100 Pusat Internet 1Malaysia bagi
Tahun 2013 hingga 2015 di dalam
bandar seperti di kawasan
perumahan rakyat. Pusat ini
dilengkapi dengan kemudahan
komputer dan perkhidmatan jalur
lebar bagi kegunaan harian dan
meningkatkan kegiatan
sosioekonomi mereka. Untuk itu,
SKMM akan menyediakan
peruntukan sebanyak 150 juta
ringgit.
Menggalakkan Aktiviti
Tanggungjawab Sosial Korporat
(CSR)
Tuan Yang di-Pertua,
157. Kerajaan berharap pihak
swasta, badan korporat serta
syarikat berkaitan Kerajaan dapat
memainkan peranan yang lebih
besar dalam pembangunan dan
kesejahteraan rakyat melalui
Tanggungjawab Sosial Korporat atau
‘Corporate Social Responsibility’.
Bagi menyokong usaha Kerajaan
untuk merancakkan aktiviti CSR,
program yang akan dilaksanakan
oleh GLC dan agensi termasuklah:
Pertama: Felda akan melaksana dan
menyiapkan projek perumahan
generasi baru sebanyak 20,000 unit
untuk tempoh lima tahun di atas
5,000 ekar tanah dalam kawasan
Felda. Projek ini akan menelan
belanja sebanyak 1.5 billion ringgit
dalam tempoh tersebut. Di samping
itu, Felda telah memperuntukkan
sebanyak 60 juta ringgit bagi
membaiki rumah-rumah kampung
tradisi di sekitar rancangan. Felda
juga akan berbelanja sebanyak 100
juta ringgit setahun untuk program
pendidikan dan latihan kemahiran
serta biasiswa kepada 5000 anak
generasi baru, 30 peratus atau 2,000
orang dari jumlah ini adalah terdiri
dari anak-anak dari luar Felda;
Kedua: Yayasan 1MDB akan
menyediakan 300 juta ringgit bagi
pemberian geran pendidikan,
bantuan kewangan, pembinaan
rumah arau untuk pelajar pra-
sekolah di pedalaman Sarawak,
Klinik Bergerak 1Malaysia dan
program membaiki rumah bagi
golongan miskin dan daif; dan
Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan
GLC akan memperuntukkan hampir
500 juta ringgit untuk menjalankan
CSR dalam bidang pembangunan
komuniti, biasiswa, pendidikan,
sukan dan alam persekitaran.
Tuan Yang di-Pertua,
158. Sebaik manapun dasar yang
telah digubal pihak Kerajaan tidak
akan bermakna tanpa pelaksanaan
yang cekap serta berkesan. Kerajaan
mengucapkan terima kasih kepada
semua penjawat awam negara yang
merupakan jentera pelaksanaan
dasar negara sama ada yang berada
di peringkat daerah, pihak berkuasa
tempatan, negeri mahupun pusat.
159. Kerajaan juga ingin mengambil
peluang ini untuk mengiktiraf
peranan yang dimainkan
Kementerian Kewangan sebagai
pelaksana dasar fiskal negara, Bank
Negara Malaysia yang
bertanggungjawab terhadap dasar
monetari negara dan Suruhanjaya
Sekuriti yang mengawal keutuhan
pasaran modal kebangsaan.
160. Makanya, sebagai Kerajaan
yang mengenang budi, suka saya
mengumumkan pemberian bonus
sebanyak satu setengah bulan gaji.
Seperti kita tahu, dari jumlah ini,
setengah bulan telahpun diberikan
menjelang perayaan Aidilfitri yang
lepas, sejumlah setengah bulan gaji
lagi akan diberikan pada bulan
Disember kelak manakala setengah
bulan lagi akan diberikan pada
bulan Januari nanti. Diharapkan
pemberian bonus ini akan
mengurangkan beban para penjawat
awam terutamanya yang
berkeluarga sempena musim awal
persekolahan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
161. Bajet yang baru saya
bentangkan untuk tahun 2013 ini
adalah bajet terakhir sebelum
pilihanraya umum ke-13. Ia
merupakan antara siri-siri bajet
yang akan mendorong negara
tercinta ke arah pencapaian
wawasan nasional.
162. Dengan izin Allah SWT dan
dengan sokongan serta dukungan
rakyat Malaysia, InsyaAllah kita
akan menyaksikan enam lagi bajet
yang akan dibentangkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sebelum
Malaysia berubah status daripada
sebuah negara membangun
berpendapatan sederhana tinggi
menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi.
163. Sebagai parti yang telah
dimandatkan, kami menyeru agar
rakyat menilai secara kritikal dan
rasional akan titipan rekod kejayaan
yang dimiliki oleh Barisan Nasional.
Kerajaan BN dan sebelum itu
perikatan telah selama 55 tahun
mencipta kehidupan yang lebih baik
untuk rakyat Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
164. Kita tahu ada pihak yang
menyeru supaya mereka diberi
peluang untuk membentuk
kerajaan. Secara berlapang dada,
dalam sebuah negara yang
demokratik, kita faham tidak salah
menawarkan diri, kerana mereka
juga ada hak namun pada akhirnya,
rakyatlah yang akan menentukan
siapa akan mendapat mandat
melalui peti undi.
165. Kini, masanya hampir tiba
apabila rakyat Malaysia akan
membuat pilihan bagi menentukan
masa depan mereka dan anak-anak
mereka. Persoalan yang perlu
ditanya semasa membuat keputusan
ialah, sama ada kehidupan mereka
hari ini lebih baik berbanding
semalam dan adakah hari esok
menjanjikan harapan yang sarat
dengan peluang serta potensi. Jika
jawapannya ya, maka tanpa ragu-
ragu berilah mandat kepada
kerajaan yang ada untuk
meneruskan dan menambahbaik apa
yang ada.
Tuan Yang di-Pertua,
166. Pujangga bermadah, bumi
mana tak ditimpa hujan, gading
mana yang tidak retak. Kita akur,
Kerajaan BN tidak bebas dari
kekhilafan tetapi yang membezakan
kami dan mereka ialah mereka
tidak mempunyai ketawadu’an
untuk mengakui kesilapan
sebaliknya mencipta alasan demi
alasan dengan penuh gempita
menyalahkan orang lain.
Tuan Yang di-Pertua,
167. Pucuk pangkalnya, pihak yang
menawarkan alternatif ini juga perlu
dinilai catatan rekod mereka.
Kerana mereka bukannya tidak
dikenali rakyat Malaysia. Malah, ada
di kalangan mereka pernah
diamanahkan sebagai kepimpinan
tertinggi yang mengurus khazanah
negara. Tidak cukup dengan itu, hari
ini di beberapa negeri mereka juga
mengepalai Kerajaan.
168. Kalau hari ini mereka menjanji
itu dan ini, rakyat Malaysia harus
bertanya, apabila pemimpin
berkenaan, ketika masih berjawatan
dulu, kenapa tidak melaksanakan
apa yang dikokokkan. Hakikatnya,
jika ketika berpeluang, tidak
melaksanakan segala yang dijanji,
apatah pula jaminan mereka akan
melunaskannya jika diberi kuasa
sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
169. Bukankah apabila berhadapan
dengan krisis kewangan Asia,
hampir ranap negara ini dibuatnya?
Jika kini, di negeri-negeri yang
ditadbir mereka, apa yang
terkandung dalam manifesto
mereka sendiri pun masih tinggal
janji, mana mungkin mereka boleh
dipercayai dengan amanah dan
kuasa.
170. Ini berbeza dengan kerajaan
BN. Apabila berjanji, ditepati.
Bahkan sebelum berjanji pun lagi,
kita bersikap bertanggungjawab,
dengan menentukan sama ada janji
itu boleh ditunaikan atau tidak.
Bukannya mengambil sikap asal
menang, segalanya-galanya sanggup
dipertaruhkan. Sebaliknya bila
menang, janji hilang entah ke mana.
Tuan Yang di-Pertua,
171. Kata Plato “The measure of a
man is what he does with power”.
Justeru, hari ini, kita dapati, untuk
berkuasa, ada sesetengah pihak
sanggup mengadu domba antara
agama dan bangsa, sanggup
menggadai segala-galanya hatta
prinsip sekalipun demi kerakusan
kuasa. Kerajaan BN, dibimbing
prinsip “fastabiqul khairat”
sepertimana terkandung di dalam
ayat al-Quran yang saya baca pada
awal ucapan tadi, iaitu berlumba-
lumba melakukan kebaikan.
Sedangkan pegangan puak sana
tampaknya “fastabiqul fasad”, iaitu
berlumba-lumba membuat onar
kerosakan.
172. Kalau kita lihat lagi, hakikatnya
Kerajaan BN adalah perintis kepada
perpaduan kaum yang menjadi teras
kestabilan nasional tetapi pihak lain
yang ingin menjadi Kerajaan
merintis kekuatan melalui konflik
dan kebencian. Kerajaan difitnah
dan dituduh semahunya.
173. Maka, saya menyeru rakyat
Malaysia supaya menghakimi
Kerajaan BN dengan amal perbuatan
bukannya retorik. Marilah bersama-
sama saya dan rakan-rakan untuk
kita melepas bebaskan segala
potensi yang ada bagi membina
sebuah negara yang boleh kita
banggakan. Sebuah negara yang
mana yang susah dibantu, yang
lemah dilindungi, yang berada
membantu, yang kuat melindungi,
yang muda kasihi, yang tua dihargai,
yang memerlukan dikhidmati dan
yang berbakat digilap.
174. Sesungguhnya, kita mahukan
Malaysia yang tersanjung di persada
antarabangsa. Malaysia yang
makmur dan aman. Malaysia yang
menjadi cahaya dan oasis di tengah-
tengah ketidaktentuan global.
Mudah-mudahan dengan izin-Nya
dan sokongan padu rakyat, kita
bakal membina sebuah realiti dari
impian. Kepada Allah kita berserah.

Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.

0 Komentar untuk "Teks Ucapan Penuh Belanjawan 2013."

Seni menghuraikan topik adalah curahan dari rasa hati yang merasa. Anda boleh memberikan maklumbalas sesuka hati anda. Tapi sebarang ulasan yang tidak berkaitan dengan topik mohon dielakkan. Begitu juga ulasan yang bersifat memalukan. Terima kasih kerana bekerjasama.

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info - PB Networks - Buku Rujukan PTD